Sukan Hari Ini

Prestij Liga Super tak terjejas: Kevin

KEMERIAHAN Liga Super dijangka tidak tergugat meskipun ada pasukan yang hanya mempersiapkan pasukan secara ala kadar.

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam menegaskan prestij Liga Super sebagai liga utama negara tidak terjejas meskipun ada pasukan yang hanya mempersiapkan pasukan secara ala kadar kerana masalah kewangan.

Ada pasukan ketika ini khususnya Selangor dan Kelantan bergelut dalam membentuk skuad akibat kekangan kewangan sehingga ke tahap kemungkinan terpaksa menarik diri jika masalah itu gagal diselesaikan pada 30 Disember ini.

Jalan terakhir pasukan yang bermasalah ini adalah menggunakan pemain Piala Presiden bagi melengkapkan senarai pemain dan mungkin membawa masuk pemain tempatan yang gagal mendapat kontrak dengan pasukan lain dengan nilai lebih rendah.

Bagaimanapun, Kevin percaya pasukan yang menggunakan pemain muda tetap mampu memberikan cabaran sekali gus memastikan Liga Super masih lagi sebagai saingan liga domestik paling kompetitif.

“Kita tak boleh cakap kalau Selangor dan Kelantan guna ramai pemain muda tak bagus, kita boleh tengok kejayaan Kedah. Memang mereka ada pemain senior yang bagus seperti Baddrol Bakhtiar tapi di setiap posisi pertahanan, tengah dan penyerang, Kedah ada pemain muda yang bermain dalam skuad utama.

“Sekarang skuad Harimau Muda sudah tidak ada jadi ini peluang terbaik untuk pasukan memberi peluang kepada pemain muda beraksi dalam liga. Saya fikir saingan Liga Super tetap kompetitif walaupun ada pasukan yang bermasalah dan jika mereka tidak mampu berbelanja besar mengambil pemain ternama, lebih baik mereka gunakan pemain muda saja,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sehingga kini, FMLLP masih menunggu Selangor, Kelantan dan satu pasukan dari Liga Perdana Perlis untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan penyertaan atau tidak kerana berdepan masalah kewangan.

Menurut Kevin, beliau masih menaruh harapan kemelut yang dihadapi pasukan terbabit dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kita mahu semua pasukan ini terus bertanding, saya berharap mereka dapat menyelesaikan masalah. Saya difahamkan ada syarikat yang mahu menaja Kelantan jadi ini satu perkembangan positif,” jelasnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");