Sukan Hari Ini

Rosberg tenang bersara

Vienna: Nico Rosberg menganggap misi yang selama ini ingin dilaksanakan, sudah tertunai apabila trofi selaku juara dunia Formula Satu diserahkan kepadanya kelmarin, beberapa jam selepas dia mengumumkan untuk bersara daripada sukan berkenaan.

Pelumba berusia 31 tahun itu turut menghambur pujian buat seteru yang juga rakan lamanya di Mercedes Lewis Hamilton selain bapanya Keke Rosberg yang memenangi gelaran dunia F1 pada 1982.

“Bagi saya, semua misi yang saya galas sudah selesai,” kata pelumba Jerman itu pada majlis penyampaian hadiah yang dilangsungkan di Vienna.

“Saya sangat berbangga dapat berada di sini. Ia tempoh yang agak menyukarkan tetapi ini adalah impian saya sejak kanak-kanak.

“Apabila saya merenung ke arah trofi ini buat kali pertama hari ini, saya cuba mencari nama bapa saya yang diukir di situ. Ia sesuatu yang sangat emosi buat saya dan itulah yang beliau rasakan 34 tahun lalu.”

Rosberg mengaku jika dia tidak mengambil keputusan bersara, sudah tentu rentak sebagai seorang juara akan diteruskan pada musim 2017.

“Ketika saya berusia enam tahun, saya mengidam untuk menjadi juara dunia dan saya sudah melakukannya. Kini saya mahu menumpukan usaha kepada mengukuhkan ikatan kekeluargaan sambil menunggu apa yang terbaik untuk masa depan saya.”

Rosberg memintas Hamilton untuk menjulang gelaran juara tetapi dia tidak lupa menghargai rakannya itu.

“Lewis seorang yang hebat dan justeru, kejayaan merampas gelaran juara daripadanya adalah sesuatu yang sangat istimewa,” tambah Rosberg yang mengaku memenangi gelaran itu adalah antara perkara paling hebat di dalam hidupnya.

“Selain itu, melihat isteri saya melahirkan anak kami turut menjadi perkara penting dalam hidup saya.”

Pada majlis sama, pemandu Belanda Max Verstappen memenangi anugerah Personaliti Pilihan Tahunan FIA serta anugerah Pelumba Harapan Tahunan FIA.

Pemandu Red Bull itu muncul pemenang termuda Grand Prix apabila menjulang kejayaan di litar Catalunya di Sepanyol pada usia 18 tahun 228 hari.

Ia adalah antara perlumbaan yang tidak dimenangi pelumba Mercedes pada 2016 – satu lagi kekalahan mereka ialah di tangan rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo di Malaysia.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");