Sukan Hari Ini

Selangor bangkit merejam Perdana

AHAD lalu, Selangor kembali ke arena yang sewajarnya dan berhak diterimanya dengan reputasi, tradisi dan sejarah besar sebagai pemenang terbanyak 12 kali Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ).

Dengan kejayaan dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 apabila meraih tempat ketiga Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 , skuad bimbingan Affandi Abd Rahman dan Zamzee Zainuddin itu kini berada di landasan tepat untuk terus melangkah maju.

Selangor juga ibarat gergasi yang sudah bangkit daripada lena! Memang mereka dikejutkan Perak The Bos Gaurus agak mudah dalam separuh akhir Divisyen Satu tetapi Mat Pan (gelaran Affandi) mengesan kelemahan ketara pada susunan regu mereka.

“Kami kekurangan pelibas atau apit kanan yang ‘mencengkam’. Mungkin musim depan kami beroleh semula khidmat nama besar perejam sedemikian yang turut pernah menyarung jersi negara untuk kembali memperkasa Selangor.

“Mereka ialah Norshahruddin Mad Ghani, Mohamad Arif Busu dan Ali Alhamidi Ayob,” katanya yang turut merujuk kepada PEKJ 2017 di gelanggang sama STL, Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Serdang Jaya, bulan depan.

STL musim ini menampilkan Shafirul Nizam Zainal dan Najib Rahman di posisi apit kanan Selangor manakala tekong berpengalaman dan bereputasi besar mereka ialah Noor Azman Abdul Hamid dan Ahmad Sufi Hashim selain Shafiq Sharif.

Apit kiri atau pengumpan mereka tidak kurang gahnya di arena sepak takraw Malaysia mahupun antarabangsa iaitu kapten negara, Farhan Adam dan Muqlis Borhan dengan nama glamor masing-masing, Emon dan Kecik.

“Simchan (Norshahruddin) tidak dibenarkan bermain buat sementara bagi tahun ini kerana masih menjalani pemulihan lutut tetapi mungkin tahun depan, khidmatnya dapat diperoleh,” kata Affandi, bekas apit kiri negara di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman dari 2007 hingga 2009.

Mengenai Arif yang dikatakan perejam serba boleh (gulung dan kalih) sekalipun bertubuh agak kecil dan rendah katanya, “dia cuma meminta kebenaran untuk bermain dengan Pahang (STL musim ini) tetapi kami tetap cuba pertimbangkannya bersama Selangor semula. Begitu juga Ali musim ini bersama Kedah Eagles.”

Selangor turut agak bertuah kerana Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A yang mara ke final Divisyen Satu, tidak dinaikkan ke Perdana kerana hanya beraksi bagi menimba pendedahan STL sebagai persediaan Program Kita Juara Sukan Sea 2017.

Seyogia diingatkan juga bahawa Gergasi Merah Kuning sudah merangkul PEKJ – trofi pertandingan sepak takraw yang tertua dan berprestij dunia sebanyak 12 kali malah kali terakhir melakukannya pada 2011 di Kuching namun disekat oleh Pulau Pinang 2-0 di Putrajaya, Februari lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");