Sukan Hari Ini

Semangat Rachel Arnold

BERITA penarikan diri di saat akhir pemain skuasy nombor dua negara, Low Wee Wern daripada menyertai Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia (WWTC) akibat kecederaan lutut ACL menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada skuad negara.

Berita ini sekaligus memberi ruang kepada seorang lagi bakat muda negara untuk membuat penampilan sulung ke kejohanan dwitahunan ini selepas S Sivasangari.

Beliau yang dimaksudkan ialah Rachel Arnold yang juga adik kepada pemain skuasy nombor tiga negara, Delia Arnold walaupun nama Rachel tidak hebat Delia namun bakat pemain berusia 20 tahun ini tidak boleh dipandang rendah.

Antara kejayaan manis yang pernah dilakar Rachel ialah muncul juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia bersama Delia dan Sivasangari pada Mei lalu selain pernah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang dua pingat emas di dalam acara perseorangan dan berpasukan wanita di Sukan Sea Singapura tahun lalu.

Daripada kejayaan yang pernah dicapai ini, jelas Rachel boleh diletakkan sebaris dengan bintang skuasy terbaik negara yang lain.

Dengan pengalaman dan semangat juangnya yang tinggi, diharap Rachel mampu menggalas tanggungjawab besar ini untuk membawa Malaysia menjulang kejuaraan di kejohanan ini buat kali pertama.

Pilihan tepat

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam menyifatkan pemilihan Rachel Arnold untuk menggantikan Wee Wern adalah pilihan yang tepat memandangkan Rachel berjaya menjadi empat pemain terbaik di Kejohanan Skuasy Kebangsaan baru-baru ini.

Menurutnya, beliau yakin gandingan pemain berpengalaman dan bakat muda ini mampu memberikan kejayaan untuk pasukan negara.

“Pemilihan Rachel untuk menggantikan Wee Wern adalah pilihan yang tepat memandangkan dia juga mempunyai rekod yang agak baik di dalam kejohanan skuasy.

“Saya yakin gandingan Nicol dan Delia bersama dua bakat muda yang pertama kali membuat penampilan di kejohanan ini akan memberikan sesuatu yang baik untuk skuad negara.

“Saya berharap penampilan sulung Sivasangari dan Rachel di kejohanan ini dapat memberikan lebih pendedahan kepada mereka untuk lebih menyinar pada masa depan,” ujarnya.

Manfaat peluang

Bagi Rachel, peluang membarisi skuad negara bersama pemain lagenda seperti Datuk Nicol Ann David satu impian untuk dirinya.

Rachel bertekad untuk memberikan persembahan terbaik untuk membawa Malaysia menjulang kejuaraan sulung ini.

“Bagi saya, peluang untuk berdiri dan bertanding sebaris pemain terkemuka dunia adalah sesuatu yang saya idam-idamkan selama ini.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini, jadi saya akan cuba untuk memberikan aksi terbaik bagi membolehkan skuad negara melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Saya akan diturunkan di dalam perlawanan menentang Austria tengah malam ini (semalam), jadi saya sedang mempersiapkan diri untuk menambah stamina dan menguatkan mental untuk berdepan dengan lawan saya nanti,” ujarnya.

Rachel turut menambah motivasi daripada keluarga dan rakan seperjuangan akan menjadi pembakar semangat untuknya dalam perlawanan pertamanya itu.

INFO:
Nama: Rachel Arnold
Tarikh lahir: 16 April 1996
Asal: Ampang, Malaysia
Tinggi: 166sm
Berat: 64kg
Jurulatih: Peter Genever
Penaja raket: Tecnifibre
Ranking terkini: 65

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");