Berita Hari Ini

Universiti terbuka sedia pendidikan tanpa sempadan

PUTRAJAYA – Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) perlu menerajui pembinaan universiti terbuka bagi menyediakan pendidikan tinggi tanpa sempadan dan boleh diakses untuk rakyat Asean.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ketika membuat saranan itu berkata, sudah tiba masanya untuk ASAIHL, yang ditubuhkan pada 1956, mewujudkan Universiti Terbuka ASAIHL.

“Asean mempunyai 145.2 juta golongan belia. Mereka memerlukan pendidikan tinggi yang berkualiti, kos yang berpatutan dan boleh didaftar masuk tanpa mengira di mana mereka tinggal.

“Saya juga ingin mencadangkan setiap universiti anggota menawarkan kursus atau ijazah dalam talian yang diiktiraf oleh universiti anggota,” katanya pada Persidangan ASAIHL 2016 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Persidangan tiga hari bertemakan ‘Akses Pendidikan Terbuka Tanpa Sempadan’ itu mengumpulkan pakar dalam bidang pendidikan dari seluruh dunia, khususnya dari rantau Asia yang akan memberi tumpuan kepada isu seperti pendidikan tinggi, dunia tanpa sempadan dan akses kepada pendidikan untuk setiap individu.

Sementara itu, Idris menggesa universiti di rantau Asean untuk mengeksploitasi penggunaan teknologi baharu bagi menawarkan program bukan hanya untuk negara anggota tetapi di seluruh dunia.

Beliau berkata universiti perlu bekerjasama sebagai satu konsortium dalam menangani pendidikan tanpa sempadan dan boleh diakses.

“Universiti di rantau Asia Tenggara boleh mencontohi amalan oleh universiti dari United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat dengan menubuhkan kampus cawangan atau institusi di luar pesisir di negara Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang lain.

“Sebagai contoh, Malaysia mungkin mahu membawa pendidikan kita ke Filipina menerusi francais, ijazah berkembar dan bersama yang mana program pengajian, sebahagian daripada kursus pengajian atau kemudahan pendidikan lain disediakan rakan institusi,” katanya.

Berkongsi mengenai Kursus Terbuka Dalam Talian secara Besar-Besaran (MOOC) yang diperkenalkan Malaysia, Idris berkata ia merupakan satu alternatif untuk menjadikan pendidikan tinggi boleh diakses dan berpatutan.

Beliau berkata MOOC, kaedah pembelajaran dan pengajaran berasaskan web, dilihat berkesan kepada universiti awam kerana pelajar boleh mengakses subjek di mana-mana dan bila-bila masa menerusi laman web MOOC.

“Kursus dalam talian dilaksanakan selama bertahun-tahun tetapi tiada kredit diberikan sehingga tamat kursus berkenaan.

“Bagaimanapun, inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi ini akan membolehkan pelajar dari seluruh dunia melanjutkan pelajaran mereka secara dalam talian dengan percuma serta mendapat pengiktirafan kredit.

“Justeru, pelajar ini akan memperoleh sijil, diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing,” katanya.

Pada masa ini, Idris berkata, terdapat 63 kursus yang ditawarkan daripada universiti awam di Malaysia dengan hampir 186,969 pelajar berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");