Membawang Hari Ini

Awie, Hattan dan Edry berganding bahu

BAGI menyemarakkan lagi lanskap dunia hiburan tanah air dan mengangkat muzik rock selain memberi lebih pilihan kepada penggemar muzik di negara ini, Astro Prima mengambil inisiatif mewujudkan program realiti terbaru berjudul Rockanova.

Bakal disiarkan di saluran rasmi Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 29 Mac kelak, Rockanova adalah program yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk mencungkil bakat dalam muzik rock.

Penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia dan Singapura dan tidak boleh terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan dengan mana-mana syarikat.

Mengulas mengenai program terbaru ini, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang memperbaharui pengisian kandungan yang ditawarkan bagi mempertingkatkan nilai kedudukan di pasaran demi memikat hati penonton.

“Menerusi pengalaman menerbitkan program pencarian bakat seumpama ini, kami sedar bahawa seni muzik adalah cabang yang sering mendapat perhatian.

“Manakala industri muzik tanah air pula sudah semestinya memerlukan kehadiran lebih ramai generasi pelapis bagi menyemarakkan lagi dunia seni terbabit.

“Program Rockanova bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program yang pernah kami terbitkan.

Bagi merancakkan lagi penganjuran musim pertama, kombinasi tiga ikon muzik dengan latar belakang portfolio dan reputasi yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air telah dilantik menjayakan penerbitan Rockanova musim ini.

Rocker terkenal, Datuk Awie dan komposer popular tanah air, Edry Abdul Halim bakal digandingkan bersama sebagai juri tetap manakala Datuk Hattan dilantik sebagai guru vokal dan persembahan.

Tambah istimewa, kesemua ikon muzik tersohor ini juga dilantik sebagai juri tetap untuk sesi uji bakat bagi mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Februari 2017 di Anggerik Mall, Shah Alam.

Calon peserta akan dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan termasuklah dalam konteks teknikal seperti kawalan suara, sebutan, pernafasan, intonasi, rentak, tempo, keserasian, harmoni penghayatan persembahan serta penilaian daripada segi karakter dan personaliti.

Dalam pada itu, menyedari perubahan bentuk komunikasi pengguna masa kini yang bersifat digital dan lebih interaktif, produksi Rockanova mengambil langkah proaktif mendekati golongan sasaran dengan menjalankan uji bakat secara online untuk laluan pantas atau fast track.

Calon peserta juga boleh memilih menghantarkan penyertaan dengan memuat naik video nyanyian mereka menggunakan kata kunci atau hashtag #bakatrockanova menerusi laman sosial Instagram.

Selain itu, calon peserta juga diberi pilihan untuk menyertai sesi uji bakat menerusi platfrom radio rasmi Rockanova iaitu Sinar FM di segmen petang, Santai Sinar yang dikendalikan oleh penyampai radio Salleh Yaacob dan Feeya Iskandar.

Program Rockanova turut memperkenalkan sistem pemarkahan yang berdasarkan 70 peratus oleh pihak juri dan 30 peratus berdasarkan undian SMS. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");