Membawang Hari Ini

Che Ta: Boleh kongsi, tapi bukan semua

CANTIK, mewah, berpengaruh. Tidak keterlaluan mengaitkan tiga perkataan itu dengan kehidupan pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan nama Che Ta.

Tidak hanya karier yang menjadi perhatian, kehidupan berkeluarganya juga sentiasa menjadi sorotan media dan peminat.

Dan bermula semalam, penonton setia Astro akan dapat menyaksikan lebih dekat kehidupan Che Ta bersama suami, Zain Saidin serta tiga anak mereka, Ammar Affendy, 21, dan Aniq Ezzra, 19, serta si comel, Aaishah Dhia Rana, 2, menerusi program The House.

Program yang memasuki musim ketiga penyiarannya ini disiarkan setiap hari Rabu, jam 9.30 malam bermula 25 Januari di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Biarpun berkongsi aktiviti harian bersama keluarga, ujar wanita berusia 44 tahun ini, tidak 100 peratus kisah peribadi mereka didedahkan kepada umum.

Bahkan dia bersedia menerima apa jua maklum balas daripada penonton.

“Kalau ikutkan pihak produksi, memang mereka mahu ‘korek’ dalam lagi. Tapi melalui perbincangan, saya sudah maklumkan apa yang saya boleh kongsi dan apa yang tidak.

“Saya fikir tidak salah berkongsi aktiviti seharian daripada sesetengah orang yang berkongsi setiap gerak-geri mereka dalam laman sosial secara percuma, saya pula terima bayaran (ketawa).

“Tapi tidaklah secara keterlaluan. Malah kalau di laman sosial pun, hanya 40 peratus sahaja kehidupan saya dikongsi kepada umum.

“Saya rasa penonton juga perlu terima dengan hati terbuka kerana kehidupan setiap orang tidak sama. Mereka juga tidak boleh samakan kehidupan mereka dengan saya,” ujarnya ditemui di Dudda, Suria KLCC.

Tambah Che Ta, dia turut memujuk dua anak bujangnya bersama dalam rakaman ini dan Ammar pula terpaksa berulang alik dari tempat pengajian ke lokasi penggambaran di Hulu Langat setiap hari.

“Pada mulanya mereka memang tak mahu turut serta. Bila saya kata ada bayaran barulah mereka mahu.

“Cuma kesian dengan Ammar yang terpaksa berulang hampir setiap hari selama tempoh lapan hari penggambaran kerana saya tidak mahu dia ponteng kelas,” ujarnya.

Che Ta berkata, biarpun rindu untuk kembali ke rumah sendiri, namun dia bersyukur kerana dapat meluangkan masa dengan keluarganya lebih lama.

Bukan itu sahaja, mereka juga dapat melakukan aktiviti yang sudah diaturkan oleh pihak produksi bersama.

“Ikutkan hati memang saya nak balik rumah, tapi mereka tidak benarkan. “Itu pun mereka sudah beri kelonggaran untuk saya hadiri event pada hari pertama penggambaran dan Zain juga boleh masuk ke pejabat.

“Tapi seronoknya bila dapat luang masa lebih lama dengan semua dan makan bersama. Kalau tidak hanya sesekali sahaja kami dapat makan bersama.

“Malah dalam program ini mereka berpeluang melihat saya tanpa solekan tebal kerana pembantu peribadi dan jurusolek tidak dibenarkan turut serta,” jelasnya.

Fokus bisnes

Dalam pada itu, ditanya perkembangannya, Che Ta berkata, dia kini memberi fokus kepada beberapa bisnes termasuklah produksi dan tudung.

“Buat masa ini saya memang tidak terima tawaran berlakon kerana baru buka perniagaan yang ada pekerja.

“Jadi saya kena pantau dahulu, bila dah stabil barulah kembali aktif seperti sedia kala.

Menurut Che Ta, dia menerbitkan sebuah drama bersiri kerana syarikat produksinya sebelum ini lebih banyak menerbitkan program dan sitkom.

“Tapi kita tengoklah bagaimana kerana drama ini perlukan bajet yang lebih tinggi dan fokus yang lebih besar,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");