Perak Hari Ini

Dialog Perdana TN50 Dalam Bidang Agama Bakal Diadakan

BAGAN DATUK: Satu Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam bidang agama akan diadakan khusus untuk merancang dan menterjemahkan agenda agama Islam bagi tahun 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan beliau dengan dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi untuk tujuan tersebut.

“TN50 ini ada banyak bidang termasuklah pendidikan, teknologi; kreativiti, inovasi dan kami bertiga telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mengadakan TN khusus bagi kluster atau bidang agama.

“Kenapa Perdana Menteri suruh buat, kerana tahun 2050 iaitu 33 tahun dari sekarang apa yang perlu (difikirkan) dan perkara yang perlu disusun atur dalam bidang agama Islam bagi 33 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Karnival Mahabbah Bersama Institut Agama Negeri Perak di Dataran Masjid Al-Falah, Sungai Nipah Darat, Rungkup, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri di Pejabat Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco kerajaan negeri.

Semalam, perdana menteri telah melancarkan TN50 menerusi dialog perdana yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) bersama golongan sasar dan belia dari seluruh negara.

Jelasnya, TN50 merupakan kesinambungan wawasan 2020 yang dijangka akan tamat dalam tiga tahun lagi.

“Ertinya selepas 2020, dalam pendidikan agama apa bentuknya, adakah mahu menyelaraskan kokurikulum yang ada, beri bantuan kepada pondok dan sekolah agama…ini bukan kerana jumlah semata-mata tetapi kualiti yang ada dalam sistem pndidikan.

“Kalau mahu balik kepada sistem 60 atau 70an, asasnya boleh dikekalkan tetapi perlu disesuaikan dengan kebolehpasaran kepada keluaran sekolah-sekolah atau institusi pengajian yang bersandarkan pendidikan Islam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, apabila TN50 dalam bidang agama ini diadakan kelak, pihaknya akan mengadakan siri jelajah dan dialog di seluruh negara.

“Oleh sebab itu, kita juga minta wakil guru KAFA beri input kepada kami tentang apa bentuk pendidikan yang digunakan.

“Adakah bidang penghafalan Al Quran sahaja yang akan melupakan aspek teknologi dan kemodenan… Kita harus fikirkan perkara itu kerana perlu ada perimbangan antara duniawi dan ukhrawi,” katanya.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut merasmikan e-Guru KAFA bagi peringkat negeri Perak dan negara secara keseluruhannya.

Perak merupakan negeri pertama yang menggunakan sistem berkenaan yang membolehkan semua uruan KAFA dilakukan secara atas talian termasuklah modul maklumat guru KAFA, perkhidmatan elaun dan pendapatan, cuti, latihan serta permohonan guru KAFA.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");