Membawang Hari Ini

Hati Mia milik Izham

KATA orang, kalau sudah jodoh pasti tak ke mana.

Walau si teruna sibuk dengan karier sebagai penjaga gol dan si dara cukup dikenali sebagai pelakon, namun perancangan ALLAH SWT tak siapa yang tahu.

Mengimbau detik awal pasangan sejoli ini, Mia Ahmad berkata, mereka saling mengenali antara satu sama lain, kira-kira hampir dua tahun yang lalu.

Bagaimanapun pada awalnya, tidak timbul perasaan cinta, apatah lagi terfikir untuk mendirikan rumah tangga.

Namun kesungguhan dan kesabaran Izham atau nama sebenarnya Mohd Izham Tarmizi Roslan, 26, menghulurkan salam perkenalan sedikit sebanyak membuka hati bintang utama drama Hati Perempuan ini.

“Pada awalnya memang saya jual mahal, first sebab saya perempuan, second sebab saya sendiri tak pasti sama ada dia serius atau tidak.

“Maklumlah dia lebih muda dari saya dan usia saya pula bukan muda untuk saja-saja mencuba.

“Saya tak nak buang masa dan saya juga pernah gagal dalam percintaan, jadi saya tak mahu sejarah lama berulang kembali.

“Sebab itu, saya lebih berhati-hati. Tapi bila dia selalu tegur dan tak pernah putus asa memikat menimbulkan rasa simpati.

“Dari kesian, saya lama-lama menyenangi dia dan meyakinkan diri untuk menerima dia dalam hidup saya.

“Tak sangka, walaupun belum setahun saya rapat, Izham sudah ajak untuk mendirikan rumah tangga dan saya pasti dia benar-benar serius,” katanya.

Bagi Izham pula, dia sememangnya pernah melihat Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 29, di kaca TV.

Menerusi seorang rakan yang mengenali Mia, Izham kemudian bertemu aktres itu ketika terlibat dengan penggambaran di Johor Bahru.

Namun sama seperti Mia, dia hanya berniat untuk berkawan pada awalnya.

Bagaimanapun cara Mia yang manja, tegas dan pembawakan diri yang sopan telah memikat hatinya dan seterusnya dia mencuba untuk mendapatkan.

“Pernah juga, saya rasa putus asa bila Mia tak layan dan jadual kami pula sentiasa padat. Seorang di JB (Johor Bahru) dan seorang di KL (Kuala Lumpur).

“Tapi lama-lama, saya fikir itu dugaan untuk saya. Alhamdulillah keluarga saya juga sangat menyenangi Mia dan emak saya sendiri pernah melihat lakonan Mia, jadi mereka cepat rapat,” ujarnya.

Mia dan Izham selamat bergelar suami isteri pada pagi Jumaat lalu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Abdul Rashid Azidin dengan disaksikan bapa pengantin perempuan Ahmad Baderi dalam satu majlis di Villa Sentosa, Taiping, Perak.

Mia menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 bersama tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki dan dibalas sembilan dulang, manakala wang hantaran tidak dimaklumkan.

Pada majlis istimewa tersebut, Mia anggun mengayakan busana berwarna krim daripada pereka fesyen Lynda Rahim.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

Pasangan ini seterusnya, diraikan dalam satu majlis resepsi di Taiping Golf & Country Club Perak pada hari Sabtu.

Majlis menyambut menantu akan diadakan di Terengganu pada Mac 2017, manakala majlis untuk rakan-rakan di Kuala Lumpur pada penghujung Januari ini.

Rezeki berkahwin

Bakal mengikuti suaminya ke Johor Bahru selepas ini, Mia berkata, dia bagaimanapun akan tetap menerima tawaran lakonan, namun mahu lebih realistik.

Jelas Mia, Izham tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif, namun dia akan mempertimbangkan tawaran yang mengambil masa panjang.

“Izham kata, dia mengenali saya sebagai seorang pelakon, jadi dia tidak menghalang saya untuk terus aktif.

“Namun untuk awal-awal, saya hanya menerima tawaran melibatkan telemovie sahaja.

“Dalam masa sama juga, saya ada terlibat sebagai hosting bagi saluran HyppTV.

“Kalau tawaran drama bersiri, saya kena lihat dulu naskhahnya bagaimana dan kalau saya terima, saya kena korbankan masa dengan Izham,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa teman media sempat mengusik Izham sama ada dia memilih Mia kerana ingin mengikut jejak langkah beberapa rakan sepasukan yang memilih selebriti sebagai isteri.

Namun Izham menjawab: “Taklah. Saya tak pernah terfikir untuk berkahwin dengan selebriti. Tapi setelah melihat mereka handle rumah tangga, saya akan jadikan mereka sebagai contoh,” jelasnya akhiri perbualan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");