Membawang Hari Ini

Hospital tempat baru Wan Scoin

Penyepian selama 15 tahun bukan bermakna Wan Scoin sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

Popular menerusi lagu seperti Rindu-Rinduan Jadi Kenangan dan Ku Menangis Kehilanganmu ketika bersama kumpulan Scoin pada penghujung 2000, Wan tetap setia menyanyi pada majlis tertutup dan kecil-kecilan.

Bersama Scoin yang diilhamkan Eddie Hamid, Wan tampil dengan tiga album studio dan sebuah kompilasi iaitu Rindu-Rinduan Jadi Kenangan (1998), Buah Hatiku (1999), Yang Sayang Yang (2000) dan Scoin 1 (2005).

Wan berkata, selagi ada peluang menyanyi dan suaranya masih diterima peminat, dia akan kekal menghiburkan mereka.

“Apabila sudah bergelar anak seni, minat untuk menyanyi tak pernah padam dalam diri saya. Apatah lagi koleksi lagu Scoin masih diputarkan di radio dan jadi pilihan peminat di pusat karaoke.

“Jiwa saya sebenarnya meronta-ronta untuk menyanyi tapi memandangkan kesibukan bekerja, hasrat itu terpaksa dipendamkan dahulu.

“Saya kini sudah berkeluarga dan menetap di Johor Bahru, keutamaan perlu diberikan kepada perkara lain terlebih dahulu,” katanya yang kini bekerja di sebuah hospital di Singapura.

Selepas segala-segalanya stabil, barulah Wan atau nama sebenarnya Redzuan Abdul Manan, 37, kembali menyanyi dan menghasilkan single terbaru berjudul Menunggumu.

“Istimewanya lagu ini dicipta oleh Jasz Saad, manakala lirik ditulis saya sendiri bersama Jasz. Muziknya ada kelainan berbanding ketika saya bersama Scoin.

“Lagipun, atas faktor usia, banyak perubahan dialami terutama suara saya yang lebih matang berbanding dahulu.

“Saya yakin peminat boleh menerima dan menyukai lagu ini sekali gus dapat mengubati kerinduan mereka terhadap Scoin,” katanya.

Kata Wan lagi, dia percaya revolusi muzik yang kini kembali pada lagu era 1990-an akan membawa hasil terbaik untuk kemunculan semulanya.

“Saya dengar lagu Aiman Tino serta Tajul dan mendapati melodinya memang menyamai muzik era 1990-an.

“Oleh itu, saya melihat bukanlah satu masalah buat peminat menerima saya seperti ditunjukkan terhadap penyanyi lain.

“Bagaimanapun, saya memang tak bermaksud nak bersaing tetapi sekadar memeriahkan dunia seni dan mengubati kerinduan peminat,” katanya.

Mengulas hubungan dengan bekas anggota Scoin lain iaitu Fazrik Ismail (Boy/gitar bass), Amar Faizal (Amar/ gitar), Zairulhisham Rahaizat (Sham/gitar) dan Mohd Hanif Khalid (Anep/dram), Wan berkata mereka masih berhubung sehingga kini.

“Masa berubah kerana masing-masing kini mempunyai komitmen terhadap kerja dan keluarga yang perlu diutamakan.

“Bagaimanapun, setiap kali balik Kuala Lumpur saya pasti akan berjumpa mereka. Di situ kami dapatlah berbual dan berbincang pelbagai perkara.

“Ikutkan kami memang ada perancangan untuk bergabung semula dan buat single tapi semuanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");