Membawang Hari Ini

‘Kami ada di belakangmu!’

Gandingan Hatta Junction, Nik Putra dan Afee Utopia menerusi lagu Srikandi Cintaku ketika terbabit dalam program Doa Untukmu Rohingya anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Laman Santai, Istana Budaya 1 Januari lalu menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.

Ternyata sentuhan tiga rocker era 1990-an itu masih berbisa dan berjaya memikat semua yang hadir di situ. Melihatkan respons yang baik, mereka terpanggil untuk membantu etnik Islam Rohingya di Myanmar yang ditindas, dibunuh dan diseksa pihak tidak berperikemanusiaan di sana dengan menganjurkan program serupa.

Hatta berkata, perbincangan sudah dibuat dengan persatuan Rock Karisma bagi menentukan tarikh serta lokasi yang sesuai untuk program ini.

“Kami melihat program WHAM amat bagus dan berjaya menimbulkan rasa simpati serta membuka mata banyak pihak terhadap penderitaan yang dialami masyarakat Rohingya. Oleh itu, kami terfikir rocker juga boleh melahirkan keprihatinan mereka dengan mengadakan konsert menghimpunkan semua artis rock.

“Syukur Rock Karisma yang ditubuhkan di Johor sejak tiga tahun lalu sudi menjalin kerjasama dalam penganjuran ini,” katanya.

Menurutnya, Rock Karisma pernah menganjurkan beberapa program sebelum ini, namun ini persembahan amal mereka yang pertama.

“Buat masa ini keutamaan kami mencari tarikh dan lokasi sesuai untuk menjayakan program itu secepat mungkin yang kami jangka dapat dilaksanakan Mac ini. Selain Rock Karisma, beberapa pihak lain juga sudi menawarkan kerjasama dan setakat ini 45 artis sudah menyatakan kesediaan untuk beraksi.

“Setiap artis akan menyanyikan lagu hit masing-masing dan satu lagu bertemakan kemanusiaan atau keamanan. Mereka akan beraksi dengan kumpulan masing-masing atau menggunakan minus one.

“Program yang julung kali menghimpunkan barisan rocker pada era ini, akan bermula pada jam 3 petang dan akan berakhir jam 12 tengah malam,” katanya.

Menurutnya, penganjuran itu mendapat restu daripada penasihat Rock Karisma iaitu Mamat Khalid, Nas Ahmad dan Rosli Mohalim.

“Mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam industri dan boleh membantu menggerakkan lagi usaha ke arah itu,” katanya.

Hatta yang popular menerusi lagu Demi Cinta Setia bersama kumpulan Junction mengakui optimis program itu akan mendapat sambutan peminat terutama penggemar irama rock.

“Kami pernah terbabit dengan persembahan di Ulu Tiram, Johor, tahun lalu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Apatah lagi program sebegini dapat mendekatkan peminat dengan rocker lama yang diminati mereka.

“Selain itu, ia bertujuan memberitahu rocker otai masih aktif menyanyi dan sering menjayakan persembahan di merata tempat,” katanya.

Menurut Hatta lagi, program itu tidak bermatlamat mencari keuntungan, sebaliknya mereka akan mewujudkan tabung bantuan pada hari penganjuran program itu nanti.

“Isu Rohingya serius kerana mereka memerlukan makanan dan tempat tinggal yang sempurna. Bahkan hak mereka untuk hidup bebas juga dinafikan. Mahu bantu secara fizikal, kita tak mampu. Jadi inilah saja cara yang boleh kita lakukan.

“Mesej program ini untuk beritahu etnik Rohingya, kita ada di belakang mereka untuk menyokong dan membantu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");