Sukan Hari Ini

Kelantan Pilih ‘Berkampung’ Di Kuala Lumpur

Jurulatih pasukan Kelantan, Zahasmi Ismail menegaskan bahawa Kelantan terpaksa memilih untuk berlatih di luar negeri itu sebagai langkah persediaan untuk menghadapi PKNS FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Malah jelasnya, barisan pemain dan pegawai pasukan itu berlepas ke ibu negara, hari ini iaitu tiga hari lebih awal berbanding jadual asal berikutan padang latihan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Stadium Sultan Muhammad IV terjejas akibat banjir melanda negeri itu, ketika ini.

Tambahnya lagi keputusan membawa pasukannya ‘berkampung’ di Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru, sebagai tempat untuk mereka menjalani latihan sebelum berdepan ujian sulung menentang skuad E Elavarasan itu.

Menurutnya, pasukannya menghadapi kesukaran berlatih di Kota Bharu kerana permukaan dua padang itu bukan sahaja ditakungi air, becak dan tidak rata malah boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada pemain mereka.

“Banyak perkara yang kita rancang nak buat tapi tergendala. Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini dan ia jelas tidak memberi sebarang kelebihan kepada saya untuk merangka persiapan pasukan sebaik mungkin.

“Sebab itu, kita buat keputusan lari ke Kuala Lumpur. Itu pun kita tidak tahu lagi bagaimana keadaan cuaca di sana namun kita harap ia lebih baik berbanding di sini,” katanya kepada pemberita selepas latihan di padang Mardi di Pasir Tumboh, petang Ahad.

Skuad pantai timur bakal membuka tirai aksi sulungnya menentang PKNS FC, petang Jumaat ini, selepas perlawanan pertama bertemu Melaka United di laman sendiri, Sabtu lalu, terpaksa ditunda susulan masalah padang akibat banjir.

Beliau juga meminta agar anak buahnya memanfaatkan tempoh sepanjang latihan tiga hari itu dengan memperkemaskan corak permainan dan membentuk kombinasi mantap bersama dua pemain import baharu pasukan itu.

“Secara tidak langsung saya dapat menilai corak permainan Mohammed Ghaddar, Danso (Mamadou) dan Celin (Alessandro Padovani) dengan pemain tempatan lain kerana sebelum ini sukar untuk melihat aksi mereka dalam latihan di padang becak.

“Kalau tengok keadaan pasukan ini, memang okey malah pemain juga mempunyai keyakinan tinggi untuk bertemu PKNS FC. Apa pun, saya lebih suka fokus satu perlawanan sebelum ke perlawanan lain kerana ini adalah aksi pertama Kelantan, mungkin ia sedikit berbeza berbanding PKNS FC (aksi kedua mereka),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");