Sukan Hari Ini

Khairy dalam dilema tanding jawatan Presiden FAM

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sedia menimbangkan saranan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk tidak bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun, beliau menyatakan mahu bertemu persatuan yang mencalonkan nama beliau untuk jawatan itu terlebih dulu sebelum buat keputusan muktamad.

“Sudah pasti…TPM selaku bos, saya akan mengambil kira nasihatnya. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah sama ada mengesahkan untuk bertanding atau tidak, dua minggu lagi.

“Bagaimanapun, masih ada masa untuk saya berjumpa persatuan yang mencalonkan saya dan selepas itu, baru boleh buat keputusan,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sesi 2016/2017, tadi.

Turut hadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Rektor, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin dan Timbalan Reaktor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Datuk Dr Mizan Hitam.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Khairy menolak pencalonan itu dan menumpukan pada semua aspek pembangunan sukan di Malaysia selaras dengan statusnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Zahid turut mengatakan sebagai individu dipertanggungjawabkan mengawal selia semua sukan termasuk belia, Khairy tidak wajar memegang sebarang jawatan dalam persatuan.

Khairy berkata, kritikan mengenai pembabitan ahli politik dalam sukan tanah air adalah tidak relevan kerana kebanyakan pimpinan bola sepak negeri turut dinaungi Menteri Besar.

“Itu hanya pandangan…ramai yang memegang jawatan di negeri adalah Menteri Besar…bukan orang politik atau kerabat diraja tetapi kekuatan calon sama ada dia ada kapasiti dan juga pengaruh untuk menjadi presiden yang efektif,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan beliau calon paling layak memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy menganggap itu satu pandangan peribadi.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");