Jenayah

Lelaki ‘serang’ polis ditahan

KANGAR: Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menyerang polis dengan pelbagai peralatan merbahaya termasuk melempar bom api ke arah anggota bertugas di Behor Empiang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek yang berusia 38 tahun dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang sebelum itu membuat laporan polis berhubung masalah rumah tangga yang dihadapi mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib, berkata susulan laporan polis diterima pihaknya ke rumah pasangan terbabit pada jam 5 petang untuk melakukan penahanan atas kesalahan cuba membakar motosikal dan kereta isterinya.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang ketika itu bersama adik lelaki dan anak tunggalnya, enggan memberi kerjasama sehingga polis terpaksa menunggu sehingga jam 9 malam untuk membuat tangkapan.

“Ketika menunggu, suspek bertindak liar dengan membaling pelbagai objek termasuk parang, pisau, kapak dan penukul ke arah anggota kami, namun ia tersasar.

“Bagaimanapun, seorang Sarjan mengalami kecederaan ringan apabila tangan kirinya terkena pemotong rumput yang dilibas suspek,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, semua peralatan yang digunakan suspek untuk menyerang polis dirampas termasuk senapang angin yang turut dijumpai di dalam rumahnya, manakala adik lelaki suspek berusia 35 tahun dan anak tunggalnya, 18, turut ditahan kerana menghalang tugas polis.

“Kedua-dua mereka dibebaskan hari ini, manakala suspek yang disahkan positif syabu ditahan reman sehingga 2 Februari ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dan Seksyen 307 kanun sama atas kesalahan cubaan membunuh.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");