Jenayah

Mangsa tetak beransur sihat

JENGKA: Mangsa tetak yang cedera teruk pada kepala dalam kejadian samun berkumpulan dan bersenjata parang di Felda Jengka 11, di sini, Khamis lalu, tidak serik atau trauma jika ditakdirkan untuk membantu orang lagi.

Fauzi Dollah, 42, yang menerima 42 jahitan pada kepala, belakang badan, tangan dan kaki memberitahu, dia akan berasa kesal sekiranya berlaku kejadian lebih buruk kepada jirannya berbanding tragedi menimpa dirinya jika tidak berbuat apa-apa semasa rompakan.

Dalam kejadian pada 29 Disembr lalu, Husin Misban, 70, dan isterinya, Amliah Rakijo, 62, yang merupakan jiran Fauzi berada dalam rumah semasa enam penyamun bersenjata parang memasuki rumah mereka.

“Pagi itu adik saya sedar ada penyamun masuk rumah sebelah. Kami ingat Nenek Emun (panggilan kepada Amliah) tiada dalam rumah sebab biasanya lampu luar menyala. Pagi itu dalam jam 3, lampu itu tak menyala, tapi tiba-tiba saya dengan suara Nenek Emun macam sebut ‘aduh..aduh’…memang saya tak keruan.

“Saya takut mereka cederakan Nenek Emun. Itu yang saya tunggu di pintu belakang rumah dengan tujuan nak tangkap salah seorang penyamun. Sekurang-kurangnya boleh bantu jejak yang lain.

“Biarlah apa orang nak kata, apa yang saya tahu, jika sesuatu berlaku kepada Nenek Emun, lebih membuatkan saya kesal. Saya tak akan serik bantu orang jika berlaku kejadian sama,” kata Fauzi ketika menceritakan kembali kejadian tempoh hari.

Dalam kejadian itu, Fauzi dan adiknya, Kamaruzzaman, 26, bergelut dengan salah seorang penyamun yang pada mulanya dapat ditangkap sebelum mereka didatangi dua penyamun lain lalu menetak Fauzi bertalu-talu menggunakan parang sebelum melarikan diri.

Menurut Fauzi, dia dalam keadaan sedar sewaktu dipapah ke hospital tetapi terlalu lemah kerana kehabisan tenaga dan dia berasa lega apabila mendapat tahu Amliah sekeluarga selamat.

Fauzi yang menjalani rawatan selama empat hari di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, dekat sini, mengucapkan terima kasih kepada rakan taulan termasuk Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail yang menziarahinya ketika berada di hospital dan memberi kata-kata semangat.

Sementara itu, isteri Fauzi, Salasiah Ahmad, 41, memaklumkan, keadaan suaminya semakin sihat selepas beberapa hari menerima rawatan.

“Hari pertama (menerima rawatan) pun dia nampak OK walaupun demam panas. Sekejap lagi (semalam) pihak hospital akan buka jahitannya.

“Semasa dia bergelut dengan penyamun, saya ada dalam rumah dengan anak-anak dan keluarga mertua. Memang kami dapat dengar bunyi riuh di luar tapi anak saudara halang kami keluar.

“Saya tak tahu apa yang berlaku, cuma apabila keadaan dah kembali tenang, keluar sahaja dari pintu rumah saya tengok suami saya dah berlumuran darah. Saya terjelepok… bimbang…gelisah…semua bercampur baur,” katanya.

Salasiah berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut dan menangkap semua penjenayah terbabit sambil memaklumkan anak bongsunya kini demam kerana lama tidak dapat berjumpa ayahnya sejak ditahan di wad.

Fauzi dan Salasiah dikurniakan lima cahaya mata yang kini berusia antara setahun hingga 21 tahun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");