Sukan Hari Ini

Mat Ghaddar kembali sertai TRW

BEKAS penyerang import Kelantan yang pernah mencetuskan sensasi pada musim 2012 dan 2014, Mohammed Ghaddar sah kembali memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Selain Mohammed Ghaddar atau dikenali panggilan Mat Ghaddar, gergasi pantai timur itu turut merekrut bekas pemain skuad Piala Dunia Cameroon, Cedric Djeugoue dan Okikiola Afolabi dari Nigeria yang akan memantapkan posisi pertahanan dan serangan.

Penaja utama The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa dipetik menerusi laman sosialnya semalam mengesahkan, rundingan melibatkan terma kontrak pemain dan kelab asal mereka sudah diselesaikan.

“Saya dan redONE Network Sdn Bhd (penaja utama) bersedia membawa mereka dengan tiga syarat, iaitu pertama dipersetujui ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) dan wajib lulus ujian kecergasan yang ketat di bawah kelolaan jurulatih kecergasan.

“Selain itu, ketiga-tiga pemain berkenaan juga diwajibkan lulus ujian kesihatan yang ketat (sebelum menyertai Kelantan),” katanya ringkas.

Sinar Harian pada 8 Januari lalu melaporkan, Djeugoue dan Afolabi semakin hampir menyertai TRW manakala Mohammed Ghaddar yang beraksi dengan Al-Faisaly SC di Liga Jordan turut berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk bagi mempertajamkan jentera penggempur pasukan itu.

Djeugoue, 24, membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa pada tahun 2013 sebelum dipanggil jurulatih Jerman, Volker Finke bagi memperkukuhkan benteng skuad Les Lions Indomptables dalam kempen Piala Dunia 2014 di Brazil.

Afolabi, penyerang yang baharu berusia 22 tahun memulakan karier bersama Sunshine Stars FC selama empat musim (2013 – 2016) dan kali terakhir menyarung jersi Talleres de Cordoba dalam Liga Primera Argentina, pada tahun lalu.

Sementara itu, Mohammed Ghaddar, tidak asing lagi dalam kalangan penyokong Kelantan kerana pernah menyarung jersi pasukan itu sebanyak dua kali malah tampil selaku penjaring terbanyak dengan 21 gol daripada 32 penampilan, pada musim 2012.

Bekas penyerang kebangsaan Lubnan itu kembali menyertai TRW dua tahun kemudian namun digugurkan pada pertengahan musim akibat masalah disiplin.

Annuar menerusi entri berkenaan bagaimanapun memberitahu, pemilihan ketiga-tiga pemain import itu tertakluk kepada keputusan dua ujian berkenaan selain persetujuan pengendali pasukan.

“Sekiranya gagal, ada enam lagi nama (pemain import) lain untuk dipilih oleh jurulatih, saya dan redONE Network Sdn Bhd (bersedia) menaja mereka untuk memperkuatkan TRW setakat termampu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");