Isu Panas

MCA harap sokongan rakyat diterjemah dalam PRU14

KUALA LUMPUR – MCA berharap penghargaan rakyat kepada usaha parti selama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti juga berharap rakyat dapat mengenal pasti siapa yang betul-betul bekerja keras atau sebaliknya selama ini.

“Yang penting rakyat dapat mengenal pasti siapa yang betul-betul berkhidmat ataupun sekadar tin kosong sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2017 untuk veteran MCA dan pemimpin persatuan Cina anjuran parti itu, di sini hari ini.

Turut hadir, mantan Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tiong Lai berkata, walaupun mempunyai hanya tujuh kerusi di Parlimen, MCA telah menunjukkan kesungguhannya dalam membela nasib rakyat berbanding DAP yang mempunyai 38 kerusi tetapi hanya bercakap kosong.

Dalam pada itu, Tiong Lai berharap Tahun Ayam ini akan membawa lebih kekayaan dan kemakmuran kepada rakyat serta negara.

“Semoga pada tahun ini juga kerjasama dan perpaduan antara parti dalam Barisan Nasional akan lebih kukuh bagi memastikan sokongan rakyat semakin bertambah” katanya.

Tiong Lai juga berkata, MCA berazam untuk membantu kerajaan memastikan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi kenyataan.

TN50, yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");