Perak Hari Ini

Tempoh Pengeluaran Visa Pelajar Asing Disingkatkan

BAGAN DATUK: Tempoh pengeluaran visa bagi pelajar asing akan disingkatkan kepada 14 hari berbanding 30 hari sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini, terdapat 4,000 permohonan visa pelajar asing yang belum diproses disebabkan oleh permasalahan daripada pihak Education Malaysia Global Services (EMGS), universiti dan kolej itu sendiri.

Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung mempermudahkan kemasukan pelajar asing untuk menyambung pelajaran ke negara ini selain menyelesaikan masalah kelewatan tempoh pengeluaran visa berkenaan.

“Saya juga telah mengarahkan seramai 10 pegawai tambahan diletakkan di Jabatan Imigresen khusus untuk menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Hari Kecemerlangan UPSR Murid Sekolah Rendah Parlimen Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Exco kerajaan negeri merangkap ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 2,300 murid sekolah rendah di sekitar parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kelewatan pemberian visa kepada pelajar asing sebelum ini telah mendatangkan masalah kepada mereka kerana sesi pembelajaran telah dimulakan.

Selain itu, pihak universiti khuatir juga untuk mengambil mereka sebagai pelajar sedangkan penerimaan telah dibuat oleh pihak universiti kerana peraturan Akta Imigresen tidak membenarkan pelajar belajar tanpa ada visa pelajar.

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengambilan dan kemasukan pelajar asing ke universiti dan kolej di Malaysia yang dipengerusikan olehnya juga telah menetapkan supaya pemberian kad visa sementara kepada pelajar asing berkenaan.

“Untuk mempermudahkan dan memendekkan proses kelulusan, jawatankuasa telah memutuskan untuk memberikan kad visa pelajar sementara kepada setiap permohonan pelajar luar negara setelah nama mereka disemak dalam senarai syak oleh intepol.

“Kita juga akan menggunakan Sistem Saringan Pemeriksaan Penumpang (APSS) untuk menentu bahawa kad dan visa sementara pelajar asing ini akan diberikan terus tanpa menunggu 14 hari atau 30 hari mengikut tarikh yang lama supaya pelajar mudah untuk belajar di universiti dan kolej di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keputusan untuk memberikan visa kepada ibu bapa pelajar dari Timur Tengah yang kebanyakkannya memohon untuk tinggal bersama anak mereka sebagai penjaga di negara ini.

“Terdapat permintaan daripada ibu bapa terutamanya dari Timur Tengah untuk tinggal bersama-sama anak mereka yang belajar di Malaysia sebagai penjaga.

“Oleh itu, mereka akan diberi visa untuk menjadi penjaga kepada anak mereka mengikut perundangan yang ada dalam Akta Imigresen tanpa kompromi terhadap isu keselamatan negara,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");