Membawang Hari Ini

Naik bot buat persembahan

SEMENJAK kembali aktif dalam bidang seni, pelakon popular era 1980-an, Datuk Seri Raja Shah Rezza mengakui sering terkenangkan zaman kegemilangannya lebih dua dekad lalu.

Memulakan kerjaya sejak di bangku sekolah lagi, Shah Rezza sering ditawarkan menjadi model sambilan yang menghiasi majalah hiburan dan fesyen tempatan.

“Saya dulu seorang yang suka bergaya dan mementingkan fesyen biarpun ketika itu masih bersekolah. Kerana imej itu saya ditawarkan menjadi model dan menyertai bidang seni,” imbas pemilik label Raja Rezza yang menawarkan pakaian lelaki Muslimah dan Nusantara ini.

Berani menyahut apa sahaja cabaran, Shah Rezza kemudiannya menyertai pertandingan tarian, Saturday Night Fever dan bergelar juara seterusnya aktif untuk menjadi penari latar.

“Syed Ikhsan adalah orang pertama yang menawarkan saya menjadi penari latar untuk program terbitan RTM, Dwi Puspa yang dihoskan penyanyi popular Uji Rashid dan Hail Amir. Beliau merupakan seorang penari profesional ketika itu,” katanya.

Menurut Shah Rezza lagi, pendedahan bidang seni di usia remaja itu memberi banyak kelebihan menimba pengalaman baru selain mengenali lebih ramai orang.

“Saya memang suka berkawan dan tak pernah kisah tentang latar belakang mereka membuatkan saya ada ramai kenalan secara tidak langsung dalam pelbagai bidang.

“Barangkali kerana itu jugalah saya kemudiannya menyertai syarikat pengurusan artis, Show Master yang menguruskan kerjaya ramai artis popular ketika itu seperti Aman Shah, Blues Gang, Dr Sam dan ramai lagi,” katanya yang turut berbangga kerana pernah menjadi pengurus Allahyarham Sharifah Aini ketika di syarikat berkenaan.

Menyentuh tentang dunia lakonan, Shah Rezza yang bakal meraikan hari jadinya yang ke-56 pada 26 Januari ini, berkata, segala-galanya bermula apabila pelakon Allahyarham Azean Irdawaty mempertemukannya dengan seorang penerbit filem.

“Filem pertama lakonan saya berjudul Mangsa yang diterbitkan pada tahun 1983, namun nama saya mula dikenali sebagai pelakon menerusi filem Ali Setan yang menjadi filem box office ketika itu.

“Sejak itulah saya semakin aktif sebagai pelakon dan berpeluang membintangi 14 filem dalam tempoh beberapa tahun,” ujarnya.

Mekar Sejambak naikkan nama

Shah Rezza kemudiannya melebarkan bakat dalam bidang nyanyian apabila berpeluang menjayakan program nyanyian Mekar Sejambak yang cukup popular sekitar 1980-an.

“Pada awalnya saya tak begitu yakin untuk menerima tawaran ini kerana saya hanya boleh menyanyikan lagu Melayu asli sahaja, namun apabila diberitahu program ini berkonsep santai dan bergandingan dengan ramai penyanyi lain barulah saya bersetuju.

“Program inilah yang melonjakkan nama saya sebagai penyanyi walaupun sebenarnya saya segan mahu menggelar diri sebagai penyanyi,” akuinya jujur.

Disebabkan sikap merendah dirinya itu, hero filem Marah-Marah Sayang ini pernah menolak pelawaan seorang komposer popular untuk merakam album.

“Saya terkejut dan dalam masa sama cukup menghargai tawarannya itu, namun saya rasa tidak layak dan masih ramai lagi penyanyi lain yang lebih berbakat.

“Mungkin kerana populariti yang dikecapi, saya menerima banyak peluang di luar jangkaan, namun saya tak mahu tamak dan lebih suka membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan diri,” ujarnya yang juga pernah menolak tawaran menjadi hero Fauziah Ahmad Daud untuk filem Suara Kekasih.

Berkongsi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar artis, kata Shah Rezza, pengalaman menjayakan persembahan di kawasan pedalaman di Sarawak sekitar tahun 1982 akan dikenang selamanya.

“Saya terpaksa menaiki bot untuk ke lokasi persembahan. Apa yang mengejutkan, ketika hampir sampai ke tempat itu, kami lihat ribuan peminat sudah menunggu di jeti dan menyambut kedatangan kami seperti meraikan tetamu kehormat.

“Malah ketika mahu pulang, mereka beratur di sepanjang jalan semata-mata untuk bersalam dan mengucapkan selamat tinggal sehinggakan saya menitis air mata kerana terharu dengan penghargaan itu,” katanya yang cukup digilai kerana ketampananannya.

Meskipun ketika itu belum wujud media sosial, menurut Shah Rezza, peminat tidak ada masalah menghubungi artis kesayangan mereka dengan mengirim surat.

“Dulu saya pernah menerima berguni-guni surat termasuklah surat yang hanya menulis nama saya tanpa alamat lengkap, tetapi tetap juga sampai di tangan saya kerana posmen tahu surat itu untuk saya.

“Sekarang sudah berbeza, peminat hanya tunjuk sokongan menerusi ‘like’ atau komen yang ditinggalkan di laman sosial yang kadang kala sukar untuk kita nilaikan kejujuran mereka,” ucapnya lagi.

Bercerita tentang perkembangan terbarunya, Shah Rezza yang juga aktif dalam bidang perniagaan serta penganjuran Festival Fesyen Islamik ini bakal tampil dengan supertele pertama terbitan syarikat produksinya, Permata Hati.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral supertele pertama terbitan syarikat saya itu akan disiarkan di Astro First tidak lama lagi.

Shah Rezza turut menerima banyak tawaran berlakon selepas drama lakonannya, Tuan Anas Mikail, Lara Aishah dan Isteri Tuan Ihsan mendapat sambutan.

“Malah, jika semuanya berjalan lancar, saya merancang merakam album yang memuatkan lagu popular dari filem lakonan saya untuk dijadikan kenangan,” katanya yang pernah bertindak sebagai pengurus majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza lebih 10 tahun lalu.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");