Sukan Hari Ini

Penyerang dua serangkai MU mampu ledak: Norizam

MELAKA: Pemenang anugerah kasut emas Liga Malaysia (Liga M) 2001, yang juga penolong jurulatih pasukan Melaka United (MU), Norizam Ali Hasan yakin barisan serangan skuad terbabit mampu menyerlah pada saingan musim ini.

Bekas penyerang Perak yang meledak 13 gol bagi anugerah kasut emas 2001 itu melahirkan keyakinan berdasarkan gandingan penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Ilija Spasojevic bersama penyerang Argentina, Sergio Aguero ketika perlawanan pra musim sebelum ini.

Walaupun gandingan itu belum sempat diuji pada saingan Liga Super minggu lalu berikutan perlawanan antara MU dan Kelantan di Kota Bahru ditunda, namun mereka dilihat sudah bersedia untuk meledak berdepan Selangor di Stadium Selayang, malam ini.

Katanya, dua pemain itu bakal mendapat sokongan padu kapten pasukan kebangsaan, Mohd Amri Yahyah, R Surendran, Khairu Azrin Khazali serta import Korea Selatan, Jeon Woo Young mengikut perencanaan jurulatih, Eric Williams.

“MU juga tidak semata-mata bergantung kepada dua penyerang itu kerana Amri juga boleh bertindak di posisi penyerang. Kehadiran Mohd Fauzi Roslan dan Izzaq Faris juga mampu mencetuskan impak besar,” katanya.

Walaupun MU melepaskan penyerang muda, Nurshamil Abd Ghani ke Selangor, namun Norizam yakin kesungguhan yang dimiliki pemain sedia ada mampu membuahkan hasil terbaik.

Katanya, apa yang diharapkan Nurshamil mampu menyerlah bersama The Reds Giant di Selangor, tambahan pemain itu juga memiliki kreativiti yang tinggi untuk muncul sebagai penyerang digeruni.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");