Perak Hari Ini

Perlu Lebih Peruntukan Atasi Banjir

PASIR SALAK: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda di beberapa buah negeri terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini berikutan sekiranya banjir berlaku ia akan mendatangkan kerugian bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada negara.

Tegasnya, pihak pimpinan di peringkat atasan termasuk kementerian dibawahnya juga diseru untuk melihat perkara tersebut sebagai satu agenda nasional.

“Kita harap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk mengatasi masalah ini kerana kalau ini berlaku bukan sahaja kerugian ditanggung oleh penghuni rumah, petani tetapi pendapatan negara juga akan hilang apabila hasil pertanian dan penternakan musnah.

“Ini bukan sahaja berlaku di Sungai Manik dan Pasir Salak tetapi apa yang berlaku di Kelantan, Terengganu; Pahang dan negeri lain, apabila dicampurkan semua itu kerugian kepada negara kita daripada segi ekonomi… mungkin bukan ratusan juta jumlahnya, tetapi berbilion apabila ianya berlaku setiap tahun atau lebih daripada sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Parlimen Pasir Salak termasuk di Sungai Manik, Labu Kubong dan Sungai Tungku.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang sebanyak RM500 daripada NAFAS dan kotak makanan sumbangan FAMA kepada 32 keluarga yang terjejas akibat banjir di parlimen tersebut.

Tajuddin berkata, kerajaan perlu memandang serius dan tidak terlepas pandang keperluan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

“Sememangnya bantuan kita ada bagi tapi bantuan sekadar bantuan, tidak menyelesaikan masalah banjir yang berlaku setiap tahun dan kita dah tanggung masalah ini bertahun-tahun.

“Jadi sudah sampai masanya kita mempunyai satu perancangan yang besar (selesaikan masalah banjir)… Kalau ada projek yang berbilion-bilion boleh dapat peruntukan, saya rasa kalau di luar bandar ini pun kita perlu berfikiran seperti itu,” katanya lagi.

Jelasnya, perlu diingat bahawa kebanyakkan yang memberikan sokongan kepada kerajaan adalah daripada golongan petani dan luar bandar.

“Saya rasa sedih apabila kita hanya boleh memberikan bantuan makanan, bagi duit RM100 atau RM200… Takkan kita nak tengok orang kampung dilayan begitu rupa, mereka perlu lebih daripada itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya dapat menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“JPS terutama sekali perlu buat kajian mendalam dan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian apabila melibatkan kawasan pertanian…Mereka tak boleh bekerja bersendirian mengikut kementerian atau jabatan masing-masing kerana ia ada hubung kait antara satu sama lain dalam keperluan untuk mengatasi banjir ini,” katannya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");