Berita Hari Ini

PPD Perak diarah bersedia hadapi kemungkinan banjir

LARUT – Jabatan Pendidikan Perak telah mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Pengarahnya, Mat Lazim Idris berkata, sebuah jawatankuasa khas persediaan bagi menghadapi banjir telah ditubuhkan di peringat daerah dan sekolah untuk bertindak segera jika bencana alam itu berlaku.

Mat Lazim berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk membuat persiapan tersebut.

“Keadaan cuaca sekarang mendung dan kadangkala hujan tetapi setakat ini tidak ada mana-mana daerah di landa banjir,” katanya kepada Bernama selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin di Batu Kurau dekat sini.

Mat Lazim yang baharu dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Perak merupakan bekas pelajar sekolah tersebut dari 1971-1973.

Terdahulu, dalam ucapannya Mat Lazim meminta guru-guru bersedia menghadapi pelbagai cabaran pada 2017 demi memastikan kualiti dan kecemerlangan yang berterusan.

Pada masa sama, beliau meminta pelajar membuat persediaan yang cukup bagi menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Pelajar hendaklah membuat perancangan awal untuk mencapai kejayaan yang cemerlang selain mematuhi peraturan sekolah dan disiplin diri sendiri,” katanya.

Seramai 32,463 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan 2017 di 852 sekolah di seluruh Perak tahun ini dan daripada jumlah itu, 4,050 adalah di daerah Larut Matang dan Selama.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");