Membawang Hari Ini

‘Saya tak boleh bangun pagi!’

Bergelar artis sama tanggungjawabnya seperti menjalani pekerjaan lain. Tentunya disiplin adalah antara perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam melakukan kerja.

Ada artis tempatan yang memang cukup dikenali dengan sikap berdisiplin. Tidak kiralah sama ada penyanyi mahupun pelakon, mereka benar-benar menjaga nama dengan menepati masa, sentiasa membuat persediaan sebelum persembahan atau masuk ke set dan menghormati orang yang lebih lama dalam industri.

Namun begitu, tidak dinafikan, ada juga dalam kalangan artis Malaysia yang tidak berdisiplin dan bertanggungjawab dalam bekerja. Ini sekali gus memberi gambaran buruk buat artis lain yang turut terkena bahana tempiasnya.

BLING! berkongsi pandangan beberapa insan seni yang sentiasa mementingkan disiplin dan kualiti kerja.

Fauziah Nawi (Pelakon)

“Ini bukanlah perkara baru kalau kita bercakap mengenai disiplin. Ramai orang yang memperkatakan mengenai sikap sesetengah anak seni yang tidak berdisiplin.

Dari pandangan saya, ada sesetengah orang sekarang tidak menganggap seni itu sebagai karier. Seni ini adalah satu kerjaya, sama seperti pekerjaan lain contohnya mereka yang bekerja di pejabat, wartawan dan sebagainya.

Kalau seseorang itu tidak menganggap pekerjaan yang mereka lakukan itu adalah sebagai kerja dan tanggungjawab, itu sebabnya berlaku kekurangan sikap berdisiplin dalam diri.

Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk berdisiplin kerana ia terpulang kepada diri sendiri. Sebagai pelakon, sama juga seperti kerjaya lain, memerlukan latihan.

Kalau tidak ada disiplin, secara tak langsung, ia mencerminkan bahawa seseorang itu tak menghargai rezeki yang diberikan Tuhan kepadanya.

Antara alasan mereka yang tak berdisiplin yang pernah saya dengar adalah, tidak boleh bangun pagi. Alasan itu langsung tidak masuk akal. Kenapa perlu cakap tak boleh bangun pagi sedangkan itu adalah tanggungjawab dan pekerjaan kita.

Hal ini tak semestinya berlaku dalam kalangan pelakon baru, sebaliknya ada juga artis lama yang bersikap sedemikian.

Saya memuji beberapa artis yang pernah bekerjasama dengan saya dan sangat berdisiplin. Antaranya, Fasha Sandha, Siti Saleha, Nabila Huda, Namron dan Beto Khusyairi.

Disiplin ini pula tak semestinya berkaitan masa sahaja, tetapi juga persediaan sebelum melangkah masuk ke set dan beberapa perkara lain yang menyeluruh.

Apabila seorang saja artis yang bersikap tak berdisiplin seperti ini, ia mencalit kata-kata negatif dan masyarakat akan kata orang dalam industri seni tak bersungguh-sungguh bekerja.”

Shuhaimi Lua (Pengarah)

“Sepanjang saya bekerjasama dengan artis tanah air, rasanya belum ada lagi yang benar-benar tak berdisiplin. Kalau kita bercakap mengenai disiplin, tak semestinya artis baru, tapi artis lama pun ada yang bersikap tak berdisiplin. Apa yang boleh saya katakan adalah mengenai masa apabila ada artis yang tak boleh menunggu sehingga ke petang kalau menjayakan sesuatu babak.

Kebanyakan daripada mereka tak tahu apa perjanjian, contohnya kalau bayaran satu hari untuk seorang pelakon, dibayar dengan satu jumlah.

Namun kenapa tak boleh tunggu sehingga ke petang sedangkan, satu hari bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam? Mungkin pengurus atau pihak sepatutnya tak terangkan dan beri garis panduan. Benda ini berlaku juga kepada artis lama yang kononnya hadir ke set untuk menjayakan babak mereka sahaja.

Kalau nak disalahkan satu generasi saja, ia tak adil kerana masing-masing ada perangai tersendiri. Kadangkala, ada juga artis yang sampai awal ke set dan mula menjadi ‘guru disiplin’ pula. Yang menjadi mangsa adalah kru produksi sendiri dan pekerja belakang tabir.

Antara yang saya boleh puji bagus adalah Raja Afiq, Janna Nick, Puteri Balqis, Normah Damanhuri dan Rosnah Mat Aris. Kebanyakan mereka sedar bahawa lakonan itu adalah kerjaya mereka.”

Azrel Ismail (pelakon)

“Saya tak ada pihak pengurusan yang menguruskan dan saya sendiri bertanggungjawab untuk menjaga jadual saya.Yang penting dalam menjaga disiplin adalah ketepatan masa. Saya akan minta ‘call time’ dan tiba di sesuatu lokasi lebih awal.

Selain itu, untuk persediaan sebelum ke set juga penting. Saya akan bersedia dengan skrip, lakukan kerja rumah dan buat persediaan untuk pakaian serta ‘mood’ sesuatu karakter. Latihan untuk lakonan pula saya akan lakukan sehari sebelum masuk ke set. Untuk bangun awal, saya tak ada masalah kerana saya adalah ‘morning person’.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");