Sukan Hari Ini

THT tetap waspada

LIGA Hoki Malaysia 2017 yang membuka tirainya Jumaat ini menjanjikan saingan sengit setiap pasukan bertanding.

Kelibat seperti Pasukan Hoki Terengganu (THT), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaungkan tekad menggunung mahu memberikan yang terbaik untuk menjulang trofi liga musim ini.

Tumpuan pasti terarah kepada THT yang sebelum ini menjadi juara musim lalu selain rekod dan kelebihan lebih memihak kepada juara bertahan itu.

Namun, bagi pengendalinya, Sarjit Singh, beliau enggan mendabik dada keupayaan yang dimiliki THT.

Malah, katanya, THT tetap berwaspada dengan ancaman dan cabaran yang bakal dijelmakan pasukan lain musim ini.

Jelas Sarjit, semua pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan dan ia terpulang kepada pemain untuk merealisasikannya di atas padang.

“Semua pasukan Divisyen Perdana memiliki pasukan yang kuat. Contohnya, KLHC yang masih belum meraih sebarang kejuaraan dalam tempoh tiga tahun. Musim lalu mereka dilihat agak kuat dan tahun ini pastinya mereka akan hadir dengan semangat baharu.

“Namun, Sapura yang juga menjadi antara pencabar terkuat telah menarik diri. Ia sedikit mengecewakan kerana bakal hilang seri dalam pertandingan ,” katanya.

Sarjit turut mengakui tugas sukar bakal di galas dirinya yang perlu mempertahankan treble Divisyen Premier yang dimenangi.

Menurutnya, fokus dan tumpuan adalah perkara paling penting untuk setiap pemain dalam merealisasikan misi memenangi kejuaraan kali keempat berturut-turut.

“Kami adalah juara bertahan, saya yakin misi sedikit sukar untuk mempertahankannya apatah lagi banyak pasukan yang bersiap sedia untuk menumbangkan kami,” katanya.

Bagaimanapun, dia komited musim ini akan terus menjadi milik THT.

Sementara itu, UniKL yang dikendalikan bekas pengendali kebangsaan, Arul Selvaraj, turut dalam proses mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baharu.

Kata Arul, UniKL sedang mencari pemain import berkualiti yang mampu menjaringkan pukulan sudut penalti bagi menggalas tanggungjawab musim ini.

Malah, UniKL tidak mahu lagi dianggap sebagai pencabar dan menyasarkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan bagi musim 2017.

“Sudah tentu kami menyasarkan satu kejuaraan bagi musim 2017,” katanya.

Sementara itu, Piala Tan Sri Alagendra akan menjadi pembuka tirai kepada Liga Hoki Malaysia musim ini dengan pusingan pertama bermula 6 Januari sehingga 28 Februari depan.

Tidak seperti musim sebelum ini, Piala Tan Sri Alagendra akan diadakan sebelum bermulanya aksi liga dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Lembah Klang.

Dengan mengekalkan format yang sama, pasukan akan diundi pada setiap pusingan bagi menjadikan persaingan lebih terbuka.

Musim ini, 16 pasukan akan berentap dengan aksi tumpuan pastinya terarah pertembungan antara KLHC menentang naib juara musim lalu, TNB.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");