Berita Hari Ini

Ubah pemikiran, amal penjimatan tenaga

JOHOR BAHRU – Rakyat negara ini perlu ubah pemikiran untuk melakukan penjimatan maksimum ke atas penggunaan tenaga bagi mencapai hasrat menurunkan suhu global sebanyak dua darjah celsius.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan langkah penjimatan tenaga yang dijalankan sebaliknya perlu memainkan peranan demi kepentingan bersama.

“Kita perlu ubah fikiran, kita tidak boleh lagi berfikiran bahawa saya boleh gunakan elektrik dan air sewenang-wenangnya kerana saya mampu untuk membayar.

“Semua pihak harus bertindak sekarang dan amalkan penjimatan tenaga secara maksimum kerana setiap tenaga yang digunakan melepaskan gas karbon ke ruang udara yang boleh meningkatkan suhu dan menyebabkan peningkatan iklim global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program Gotong-royong Perpaduan Mutiara Rini 2017 di Presint Utama, Mutiara Rini, di sini, semalam.

Selain itu, Zaini turut menyeru orang ramai agar mengamalkan budaya ‘gaya hidup hijau’ dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan melahirkan komuniti yang sihat dan cergas.

“Semua pihak boleh memainkan peranan menyemarakkan gaya hidup hijau, tidak semestinya dengan membeli kereta jenis hybrid tetapi amalan ini juga dapat dilakukan menerusi aktiviti gotong-royong dalam komuniti.

“Selain itu, kita juga boleh menyemarakkan lagi amalan ini dengan aktiviti riadah, bersenam serta mengambil bahagian dalam program penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mengenai kesan peningkatan suhu global yang boleh menyebabkan pencairan ais kutub utara dan selatan hingga mengakibatkan paras air laut meningkat serta memberi kesan kepada fenomena air pasang.

“Contohnya Sungai Skudai pada 50 tahun lalu, air pasang tidak lebih 10 kilometer tetapi sekarang sudah sampai ke kawasan Senai.

“Ini bermakna loji rawatan air yang berada di Skudai tidak dapat digunakan lagi sebab air sungai sudah menjadi masin, malah fenomena ini turut menyebabkan masalah hakisan pantai,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");