Membawang Hari Ini

YA1M terus berbakti

Setiap kali menjelang perayaan, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) akan menghulurkan sumbangan kepada karyawan seni yang kurang berkemampuan.

Selasa lalu sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut 28 Januari ini, seramai 30 penerima sumbangan terdiri daripada pemuzik, penyanyi dan pelakon veteran menerima RM2,000 setiap seorang dalam satu majlis. Ia juga sempena Krismas yang disambut 25 Disember lalu.

Sumbangan wang tunai itu sebagai menghargai artis veteran berusia 60 tahun ke atas, sama ada yang masih sihat atau mengalami masalah kesihatan.

Pada acara sama, YA1M turut menyampaikan sumbangan khairat kematian dan sijil badal haji kepada waris artis yang meninggal dunia.

Ahli Lembaga YA1M, Datuk Nancie Foo berkata, jumlah sumbangan yang disampaikan pada hari itu berjumlah RM60,000.

“Penerima sumbangan termasuk yang menyambut Krismas sebab sambutan kedua-dua perayaan (Tahun Baru Cina dan Krismas) agak dekat.

“Bagi menjimatkan kos penyelenggaraan majlis, kami satukan majlis penyampaian kepada hari ini,” katanya.

Kata Nancie, sumbangan itu diberi secara automatik kepada artis yang layak sekali seumur hidup. Seperti biasa, setiap majlis sumbangan anjuran YA1M pada mana-mana perayaan, golongan artis daripada pelbagai kaum dan latar belakang tetap diutamakan.

Turut hadir, Ahli Lembaga YA1M yang lain, Datuk Yusof Haslam, Datuk M Nasir dan Datuk A Rahman Hassan.

Mengenai wang khairat dan badal haji pula, Nancie berkata, program itu agak baru dalam YA1M dan mereka mengalu-alukan semua artis menyertainya.

“Ia baru dilancarkan tahun lalu dan masih ramai artis tidak sedar kewujudan program yang memberi manfaat kepada ahli.

“Program ini bukan sahaja mengurangkan beban pengurusan jenazah bagi artis beragama Islam, malah imbuhan tunai diberikan kepada ahli keluarga dan jika berlaku kemalangan, penggiat seni turut diinsuranskan sebanyak RM10,000,” katanya.

Program Khairat YA1M juga terbuka kepada penggiat seni tidak kira agama dan kepercayaan. Ia juga terbuka kepada pekerja seni belakang tabir, termasuk penulis hiburan, jurutera bunyi, jurukamera atau kru produksi.

Antara penerima khairat kematian dan sijil badal haji pada majlis itu ialah Allahyarham Ibrahim Musa, bekas anggota kumpulan BPR yang meninggal dunia pada 4 Oktober tahun lalu.

Menariknya rakan arwah yang mendaftarkan nama Ibrahim Musa tanpa pengetahuan keluarga kerana menyedari keperluan wang itu pada masa depan.

Selain arwah, bekas pemain bes kumpulan Kasawari dan kumpulan Lekir, Allahyarham Sharom Fadzillah Radzillah yang meninggal dunia pada 11 November tahun lalu akibat kanser paru-paru turut menerima RM3,000 wang khairat.

Allahyarham diwakili adiknya, Datin Ramziela Radzillah dan turut dihadiri anak Allahyarham, Mohd Shah Al Hafiz, 15.

Ramziela yang juga penyanyi popular 1980-an berkata, usaha dilakukan YA1M melalui program sebegini sangat bagus dan artis di Malaysia harus menyertai dan menjadi ahli YA1M.

“Sedari awal penubuhannya, YA1M sudah menganjurkan banyak aktiviti yang membantu anak seni tempatan. Dengan adanya sumbangan seperti ini, ia dapat ringankan beban ahli keluarga yang masih ada,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Gemilang Cinta itu akui ketika dirawat, Allahyarham pernah menerima sumbangan daripada YA1M sebanyak RM2,000, tahun lalu.

Wang sumbangan itu digunakan untuk menampung kos perubatan di hospital tempat Allahyarham dirawat sebelum meninggal dunia.

“Sebelum arwah meninggal dunia, dia mewasiatkan kepada saya untuk membesarkan dua anaknya, Shah dan seorang lagi Izfiraz.

“Kini tanggungjawab membesarkan mereka saya jalankan dengan sebaik mungkin. Saya bersyukur sebab saya hanya ada seorang anak, Lily Norlela yang baru berusia 16 tahun.

“Apabila ada pertambahan dua anak lelaki, makin meriah rumah tangga kami,” katanya gembira.

Ramziela yang kini mengurus restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam akui akan menggunakan wang RM3,000 itu untuk pendidikan Shah dan Izfiraz dan sebahagian pula untuk perindahkan kubur arwah.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");