Sukan Hari Ini

WHWL: Dhaarma sasar jinak Itali, Ireland

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mahu pemainnya menundukkan Itali dan Ireland di Liga Hoki Dunia (WHWL) Pusingan Dua, untuk memastikan tiket ke pusingan separuh akhir.

Sehubungan itu, beliau mahukan anak buahnya bangkit memberikan persembahan meyakinkan di kejohanan dari 14 hingga 22 Januari di Stadium Tun Razak, di sini, walaupun ranking Malaysia pada kedudukan 21, adalah rendah dari Itali (15) dan Ireland (16).

“Sebelum ini, pemain belum pernah menewaskan Itali atau Ireland tetapi selepas menjalani latihan rapi dan mengikuti perlawanan dalam beberapa siri jelajah serta faktor bermain di tempat sendiri, apa sahaja boleh berlaku di peringkat kalah mati.

“Walaupun mungkin kita tidak dapat menewaskan mereka setiap masa, kita ada peluang untuk menang sekurang-kurangnya satu daripada tiga perlawanan.

“Kami akan cuba mendapatkan satu kemenangan dalam kejohanan ini untuk mencapai sasaran menduduki dua tempat teratas dan mara ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan skuad negara di sini, hari ini.

Malaysia perlu berada dalam kelompok tiga teratas untuk mara ke pusingan separuh akhir yang diadakan dalam dua edisi – di Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai dan Afrika Selatan dari 8 hingga 23 Julai sebelum pusingan akhir yang menawarkan tiket ke Piala Dunia 2018 diadakan di New Zealand pada November.

Hanya 10 atau 11 pasukan teratas daripada WHWL bersama tuan rumah Piala Dunia 2018, England serta lima juara benua akan mara ke kejohanan berprestij itu.

Bagi mencapai sasaran itu, Muhammad Dhaarma Raj yang lega dengan kehadiran semula penjaga gol, Farah Ayuni Yahya daripada latihan polis, kini menumpukan usaha menajamkan pukulan sudut penalti dan penalti dalam tempoh 10 hari terakhir sebelum kejohanan bermula.

Skuad itu mengakhiri 2016 dengan persembahan membanggakan sewaktu siri jelajah di China, Jepun, New Zealand dan Australia.

“Tempoh 10 hari terakhir ini, semua rasa tertekan dan banyak yang perlu diperbaiki lagi. Dalam hoki, jika pertandingan itu seri pada peringkat kalah-mati, tiada masa tambahan diberikan tetapi ia akan terus ke penentuan penalti,” katanya.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran menentang Hong Kong pada 14 Januari, diikuti Ireland (16 Januari) dan Kazakhstan (17 Januari) manakala Kumpulan A membabitkan Itali, Wales, Thailand dan Singapura. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");