Membawang Hari Ini

Yusni Hamid dilabel penyanyi eksklusif

BIARPUN hampir lima dekad menceburi bidang seni dengan penyanyi baru silih berganti, nama Datuk Yusni Hamid terus menjadi sebutan sehingga kini.

Selain lagu-lagunya yang masih diputarkan di corong radio, penyanyi bersuara gemeresik ini masih lagi aktif membuat persembahan terutamanya melibatkan majlis rasmi dan membabitkan golongan ternama.

Mengimbas perjalanannya dalam bidang seni, Yusni atau nama sebenarnya, Aisah Mohd Shariff, 66, berkongsi minat dalam bidang nyanyian yang mendorongnya memilih kerjaya itu biarpun pada mulanya bukan sebagai artis rakaman.

“Saya bermula sebagai penyanyi di Lake Club, Tasik Perdana sekitar tahun 1969. Ketika itu hanya menyanyi kerana mahu bekerja dan mencari pendapatan untuk keluarga tanpa terfikir langsung untuk bergelar artis,” katanya yang mula serius ketika berumur 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya, apabila mula menyanyi, Yusni fokus dengan apa yang dilakukan dan berusaha menjadi lebih baik dengan meningkatkan kebolehan ketika membuat persembahan.

Selama hampir 10 tahun menyanyi di kelab eksklusif yang sering dihadiri VIP dan ahli politik negara memberikan banyak pengalaman buat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

“Lama juga saya menyanyi di Lake Club itu kerana seronok menghiburkan penonton di situ yang menghargai saya selain pengurusannya menitikberatkan kebajikan pekerja.

“Selepas itu, saya berpindah ke Regent Lounge atas keinginan mencari pengalaman baru biarpun tawaran itu hanyalah secara kontrak.

“Namun siapa sangka, ada hikmah lain yang menanti. Saya mendapat tawaran menjadi artis rakaman apabila salah seorang kenalan berbangsa Inggeris di situ mahu menaja membuat album,” imbasnya.

Album selepas 10 tahun

Album pertama, Ku Tak Mengerti yang dirakamkan pada tahun 1982 berjaya memperkenalkan nama Yusni sebagai artis rakaman, apatah lagi satu lagu yang terkandung dalam album itu, Kau Yang Ku Nanti menjadi sebutan ramai.

“Saya tidak pernah menyangka selepas 10 tahun menyanyi di kelab, barulah ada peluang merakamkan album itu sekali gus memperkenalkan saya kepada industri muzik tanah air.

“Sememangnya tidak mudah menempatkan diri, namun pengalaman menyanyi di kelab digunakan sepenuhnya untuk tampil dengan persembahan yang menarik perhatian ramai,” akuinya yang pernah merakamkan 12 album.

Antara lagu-lagu Yusni yang pernah menjadi siulan ramai ketika itu ialah Diwajahmu Ku Lihat Bulan, Aku Rindu, Malaysia Tanah Airku dan Joget Pucuk Pisang.

“Sebenarnya banyak beza menyanyi di kelab dan sebagai artis rakaman terutamanya dari segi pemilihan lagu dan gaya persembahan.

“Di kelab saya menyanyi pelbagai genre lagu dari bahasa yang berbeza untuk menghiburkan penonton yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Jadi saya perlu membuat lebih persediaan bagi memastikan persembahkan tidak membosankan atau untuk golongan tertentu sahaja,” akuinya.

Meskipun bersaing dengan ramai penyanyi seangkatan ketika itu, nama Yusni sering menjadi pilihan kerana kebolehannya menyanyikan lagu dari pelbagai bahasa.

Ibu kepada tiga anak ini juga sering dilabelkan sebagai penyanyi eksklusif kerana sering diundang mengadakan persembahan di istana selain majlis rasmi yang melibatkan pembesar dari dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan membuat persembahan di tempat istimewa, namun saya tidak pernah menganggap diri sebagai eksklusif.

“Paling penting, saya menjaga kepercayaan yang diberikan itu dengan memastikan persediaan rapi sebelum muncul di pentas.

“Sebagai penyanyi kita harus sentiasa bersedia dan membuat sedikit homework dari segi pemilihan lagu, mahupun jenis penonton yang hadir menyaksikan persembahan kita itu,” katanya berkongsi tips.

Menurut Yusni, terlalu banyak kenangan manis yang dilaluinya sepanjang bergelar anak seni dan semestinya menjadi sesuatu cukup berharga buat dirinya.

“Antara yang saya sentiasa ingat adalah kenangan menghiburkan ketua pelbagai negara dan yang sangat sporting. Mereka memperlihatkan sokongan secara terus kepada seseorang penyanyi ketika membuat persembahan.

“Namun kenangan indah itu tidak dapat saya rakamkan dalam bentuk gambar kerana kami tidak boleh sewenang-wenangnya bergambar dengan mereka kerana majlis yang dihadiri selalunya mempunyai protokol,” ujarnya yang berkebolehan menyanyikan lagu Inggeris, Cina, Hindi, Jepun, Perancis dan Sepanyol ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");