Sukan Hari Ini

Annuar Musa Tidak Sunyi Dengan Kontroversi

BOLA Sepak Kelantan pastinya tidak pernah sunyi daripada dihimpit pelbagai kontroversi selepas Tan Sri Annuar Musa mengambil alih tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), sejak tahun 2007.

Bermula insiden rusuhan penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada musim 2009, terpaksa menumpang beraksi Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kelantan masih mampu menamatkan penantian 89 tahun menjulang Piala Malaysia, setahun kemudian, sehinggalah merangkul kejuaraan tiga piala, musim 2012.

Kehadiran supremo bola sepak Kelantan itu dengan gaya kepimpinan ala ‘one man show’ bukan sahaja mencetuskan kegilaan atau fenomena baharu dalam kalangan penyokong malah berjaya mengangkat martabat Kelantan, daripada sebuah pasukan belasahan menjadi antara disegani di pentas bola sepak negara.

Itu antara secebis cerita manis dan pahit pernah dilalui Kelantan, namun pada masa sama, Annuar sendiri turut tidak terlepas daripada merasai suka-duka sepanjang menjadi peneraju badan induk bola sepak negeri itu.

Annuar, pemimpin persatuan bola sepak negeri ketiga menjadi mangsa kezaliman Artikel 88 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil, gara-gara mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan terhadap prestasi skuad kebangsaan.

Natijahnya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dikenakan penggantungan selama 30 bulan dan dilarang terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak sehingga hukuman itu berakhir pada 5 Oktober 2014.

Hari ini, gergasi pantai timur itu sekali lagi diuji, ketika Annuar berada di luar saf kepimpinan Kafa, tokoh berusia 61 tahun itu tiba-tiba terpalit dengan isu penajaan Kelantan melibatkan dua agensi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tidak pernah terjadi dalam sejarah bola sepak Kelantan, penglibatan seorang ahli politik yang hanya semata-mata bersifat membantu atas dasar semangat kenegerian berakhir dengan ‘tragedi’ di mana beliau bakal berdepan siasatan daripada agensi yang diterajuinya sendiri, selain pihak berkuasa luar.

Memetik sumber Sinar Harian, segala-galanya dikatakan bermula apabila Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuntut penjelasan Annuar mengenai tajaan Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada The Red Warriors menggunakan duit rakyat.

Sekalipun Annuar menafikan dan turut mendedahkan segala bentuk dokumen bagi membuktikan penajaan itu dibuat secara telus, namun itu masih belum cukup, malah kes tersebut tidak berakhir begitu sahaja.

Akhirnya, Annuar pada Selasa lalu menerima ‘hukuman awal’ apabila dinasihatkan bercuti sementara sebagai Pengerusi Mara dan PMB bagi membolehkan satu siasatan dalaman dilakukan berhubung isu penajaan pasukan bola sepak itu.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mula bertindak membuka kertas siasatan, dengan menumpukan dua aspek utama iaitu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pembabitan Annuar.

Timbul persoalan, apakah pembongkaran kes tersebut bertujuan mensabotaj beliau daripada bertanding merebut kerusi nombor satu badan induk bola sepak kebangsaan itu, pada Kongres ke-53, Mac nanti.

Apa keadaan sekalipun, Annuar tetap Annuar. Beliau digambarkan seseorang yang kekal tenang, tidak mudah melatah, jauh sekali menyimpan dendam meskipun dakwaan tersebut mungkin boleh mencalarkan reputasi dan kelangsungan politiknya.

Bukan setahun dua beliau berkecimpung dalam politik, malah sudah lebih tiga dekad dan tidak ada sesiapa, hatta musuh politiknya boleh menidakkan pengalaman yang dimiliki anak jati Bukit Marak itu setiap kali mendepani masalah.

Sebut apa sahaja, sepak terajang atau cah keting, semuanya pernah dilalui Annuar sepanjang bergelar ahli politik, tetapi Ahli Parlimen Ketereh itu terbukti seorang pejuang yang tidak akan mengaku kalah sebelum bertarung di gelanggang.

Meminjam kata-kata beliau, “bersyukur dan berbangga dengan apa yang saya buat untuk negeri tanah tumpah darah dan TRW” sudah cukup membuktikan di mana letak duduk kesetiaan Annuar terhadap negeri kelahirannya.

Annuar jelas mengorbankan dirinya demi mahu memastikan ramai bergembira di sebalik derita yang ditanggungnya keseorangan, namun dalam masa sama beliau tetap menjunjung prinsip amanah dalam menghidupkan semangat bola sepak Kelantan !!!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");