Membawang Hari Ini

Awis Sambung Legasi Spin

SEKITAR hujung 1990-an, nama kumpulan Spin cukup terkenal menerusi lagu-lagu popular mereka yang sering menduduki carta teratas stesen radio tempatan.

Namun selepas vokalisnya, Achik atau Abdillah Murad Md Shari meninggal dunia dalam kemalangan pada 2010, kumpulan ini terus menyepi.

Hanya selepas beberapa tahun pemergian Achik, Spin berhasrat kembali meneruskan perjuangan seni menerusi single terbaru yang bakal dilancar tidak lama lagi.

Penampilan semula Spin diterajui oleh adik Achik sendiri, Awis, selaku vokalis bersama anggota asal Spin, Raymie di posisi gitar bass dan tiga nama baru, Jojo (gitar), Afiz (Drum) serta Galang dari Indonesia (gitar utama).

“Single terbaru ciptaan LY dan lirik Baiduri ini siap dirakam dan dalam proses akhir sebelum menemui peminat tidak lama lagi.

“Bagaimana pun tajuk single ini masih belum diputuskan kerana kami ada dua pilihan tajuk di mana prosesnya cukup penting buat kami untuk pastikan kemunculan semula diterima peminat,” ujar Awis mewakili rakan-rakannya.

Kekal balada pop

Memenuhi permintaan peminat, Spin lebih selesa mengekalkan konsep muzik yang mereka bawakan sebelum ini iaitu balada pop, cuma pembaharuan akan dilakukan terhadap susunan muzik mereka yang lebih moden bersesuaian dengan perkembangan muzik semasa.

“Peminat menerima Spin dengan genre muzik balada pop, jadi kami mahu kekal dengan konsep begitu agar mereka terus memberikan sokongan kepada Spin biarpun perjuangan ini diteruskan dengan rakan-rakan baru.

“Bagaimanapun dari segi muzik, kami tampil dengan sentuhan lebih moden dan segar untuk memenuhi selera generasi hari ini,” tambah Jojo.

Raymie yang juga merupakan anggota asal Spin yakin Awis mampu untuk membawa Spin kembali dalam industri berdasarkan bakat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh vokalis itu.

“Saya bersetuju kembali bersama Spin kerana yakin dengan bakat nyanyian Awis selain kesungguhan dia dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan legasi Spin.

“Mungkin inilah masanya Spin mengorak langkah kembali dalam industri dengan memperkenalkan single terbaru kami sebagai hadiah buat peminat,” katanya.

Ahli dari Indonesia

Sementara itu, bagi Galang Bimandiri yang berasal dari Indonesia, penyertaannya sebagai anggota baru kumpulan Spin dibuat atas keyakinan terhadap hala tuju muzik yang dibawakan oleh kumpulan ini.

“Pada awalnya, saya memang tidak kenali Spin, namun selepas diberitahu Apiz, saya mula selidik dan akhirnya tertarik turut sama menghidupkan kembali kumpulan yang diminati ramai suatu ketika dulu ini.

“Saya harap penampilan semula Spin diterima baik peminat bukan hanya di Malaysia, tetapi peminat baru di Indonesia,” kata Galang memetik sumber Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");