Membawang Hari Ini

Kagumi Sheila Majid

Lagu Hakikat Cinta daripada album pertama pada Mei 1999 menjadi salam perkenalan penyanyi Dayang Nurfaizah buat peminat tetapi album kedua, Seandainya Masih Ada Cinta melonjakkan namanya pada 2001.

Hingga kini Dayang terus menghasilkan album dan single dan menang Vokal Terbaik tiga tahun berturut-turut di Anugerah Juara Lagu sejak 2015.

Melihat kejayaan diraih Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 35, pasti ramai yang ingin tahu siapa insan seni tempatan yang selama ini menjadi sumber inspirasi sehingga bintang kelahiran Kuching, Sarawak itu berada di puncak kerjaya pada hari ini.

Ditemui baru-baru ini bagi membicarakan perkara itu, Dayang akui membesar dengan lagu yang didendangkan Datuk Sheila Majid.

Katanya, secara tidak langsung penyanyi yang dianggap ratu jazz negara itu banyak membakar semangatnya untuk menjadi penyanyi berjaya.

Tambah pula, dia sangat mengagumi kemampuan dan usaha dilakukan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sinaran itu, sehingga mampu menempa nama di Nusantara dan Jepun.

“Sheila Majid bukan saja menjadi artis kegemaran dan idola saya tetapi karya yang pernah dia dendangkan juga banyak mempengaruhi kerjaya seni saya.

“Contohnya pada peringkat asasnya, saya sering memilih dan mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan Sheila Majid sehingga saya muncul juara.

“Antara lagu yang selalu saya dendangkan sehingga kini ialah lagu cover yang pernah dibuat Sheila Majid, You Should Know By Now dan Sinaran,” katanya memetik sumber Harian Metro.

Dayang begitu memandang tinggi Sheila Majid kerana keunikan dimiliki sebagai penyanyi hingga membuatkan dia cukup meminatinya.

Katanya, kalau dinilai dari sudut vokal memang Sheila bukan penyanyi bersuara lantang tetapi kemerduan dan kelunakan suaranya sewaktu menyanyi tidak ada pada penyanyi lain.

“Perkara itu menjadi identitinya. Menerusi Sheila Majid juga saya belajar satu perkara yang sangat penting dan perlu ada kepada semua artis terutama penyanyi iaitu mereka perlu memiliki identiti tersendiri.

“Saya pula sejak remaja lagi memang suka lagu balada tetap apa yang dipersembahkan oleh Sheila waktu itu adalah sesuatu yang berbeza dan segar,” katanya.

Seperkara lagi kata Dayang, bukan semua orang boleh mendendangkan lagu yang dinyanyikan Sheila Majid walaupun ia kedengaran mudah.

“Itu sebabnya saya katakan dia seorang penyanyi yang ada identiti tersendiri dari sudut penampilan, gaya sehinggalah kepada persembahan dan nyanyian.

“Saya juga belajar satu perkara lagi iaitu sebagai penyanyi sekiranya kita sudah mempunyai identiti dari sudut kemampuan vokal mahupun apabila mengadakan persembahan, seseorang penyanyi harus yakin.

“Bayangkan kalau kita tidak percaya atau yakin dengan kemampuan dan identiti kita sebagai penyanyi, bagaimana kita mahu memperjuangkannya.

“Kalau kita tidak yakin, sudah tentu peminat berasa sangsi dengan kemunculan atau pembabitan kita dalam bidang seni,” katanya.

Dayang juga mempunyai detik manis bertemu buat kali pertama dengan idolanya itu. Berkongsi pengalaman itu, kata Dayang, waktu itu dia terasa dirinya begitu kerdil tetapi jauh di sudut hati wujud rasa teruja.

“Bagaimanapun, impak paling besar pada saya yang dilakukan Sheila Majid apabila dia menjemput saya bersama Anuar Zain tampil mengadakan pesembahan pembukaan konsertnya Ku Mohon.

“Bayangkan waktu itu saya baru muncul dengan album pertama dan tiada orang yang kenal siapa Dayang Nurfaizah, tetapi dia nampak bakat saya dan memberikan peluang kepada saya tampil mengadakan persembahan pembukaan.

“Kalau hendak diikutkan waktu itu, dia boleh saja panggil mana-mana penyanyi atau bintang baru yang terlebih dulu sudah mencipta nama berbanding saya.

“Itulah sebabnya saya katakan Sheila Majid bukan saja idola tetapi banyak mempengaruhi kerjaya seni saya sehinggalah saya mampu mencipta dan mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Walaupun sekarang dia dan Sheila sudah mengenali dan bersahabat, Dayang akui dia tetap terkesima dan teruja kalau menonton persembahan Sheila.

“Sheila ini kalau di luar sangat ramah. Kalau bertemu dengannya, dia macam mak kita, banyak celoteh bersulam kata-kata nasihat.

“Tapi apabila berada di atas pentas, kita boleh rasa aura dan karismanya. Dia di atas pentas juga kita lihat Shiela Majid yang sangat dikagumi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");