Jenayah

Kanak-kanak maut, ibu bapa tercampak atas jalan

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak maut manakala kedua ibu bapanya cedera dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Jalan Melor-Kota Bharu di sini petang semalam.

Memetik sumber Sinar harian kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, motosikal terbabit telah ditunggang bapa kanak-kanak itu manakala isteri dan anaknya membonceng di belakang.

Penunggang, Mohd Hazfiran Mohd Jena, 25, dikatakan dalam perjalanan dari Kubang Kerian ke Melor mengekori belakang sebuah kenderaan jenis Perodua Kelisa yang kemudian mengubah laluan dari lorong kiri ke kanan jalan.

Mangsa dikatakan gagal mengelak kereta terbabit selepas cuba memotong kenderaaan itu dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.

Akibat kemalangan itu, kesemua mangsa tercampak di atas jalan dan menyebabkan Mohamad Hazrul Irfan Mohd Hazfiran, 3, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala Mohd Hazfiran dan isterinya, Wan Noor Haslinda Abd Rasyid, 19 mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, tiga beranak itu dikatakan dalam perjalanan balik ke kediaman mereka di Jertih, Terengganu, selepas ibu kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Anak pasangan itu, maut serta merta ditempat kejadian, manakala kedua ibu bapanya cedera.

“Kematian kanak-kanak itu disebabkan kecederaan parah di kepala setelah disahkan doktor hasil bedah siasat yang dijalankan. Manakala pemandu kereta Perodua Kelisa terbabit hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Baharom berkata, kes terbabit disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");