Sukan Hari Ini

Kejutan Alaves

Madrid: Alaves melangkah ke final Copa del Rey buat kali pertama dalam sejarah 96 tahun penubuhan kelab selepas jaringan Edgar Mendez pada minit ke-83 memastikan kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Celta Vigo di separuh akhir kedua awal pagi semalam.

Alaves yang turut dikenali sebagai Basque itu berjaya ke final menerusi agregat 1-0 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan sebelum ini.

Skuad kendalian Mauricio Pellegrino itu akan bertemu juara 28 kali Barcelona di final yang dijadualkan berlangsung Mei ini selepas kelab kendalian Luis Enrique itu menundukkan Atletico Madrid 3-2 pada agregat, Rabu lalu.

Celta mengalahkan Real Madrid di suku akhir tetapi gagal mengulangi persembahan serupa di Stadium Mendizorrotza yang menyaksikan permainan terbaik Alaves sejak mereka tewas 4-5 di tangan Liverpool ketika final Piala UEFA 2001.

Pemain antarabangsa Sepanyol Iago Aspas mencipta satu-satunya peluang Celta tetapi rembatannya ditepis penjaga gol Fernando Pacheco.

Cubaan pemain Alaves Ibai Gomez pula sedikit melepasi palang tidak lama kemudian dan Basques mendominasi babak kedua dan sepatutnya mendahului apabila penyerang Brazil Deyverson berjaya melepaskan diri daripada kawalan tetapi rembatannya tersasar.

Gol tunggal perlawanan terhasil menerusi gerakan Deyverson serta Victor Camarasa dan peluang terhidang digunakan Mendez untuk melepaskan rembatan lambung yang gagal diselamatkan penjaga gol Sergio Alvarez.

Alaves pernah menewaskan Barca 2-1 di Nou Camp awal musim ini dan mereka akan melayan kunjungan gergasi Sepanyol itu pada saingan La Liga hujung minggu ini.

“Peminat kami berhak mendapat penghormatan ini. Mereka melonjakkan semangat kami ketika menentang pasukan yang sukar,” kata kapten Alaves Manu Garcia.

“Kami akan cuba muncul juara Mei nanti tetapi setakat ini, kami sudah melakar sejarah.”

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");