Berita Hari Ini

Komunikasi Alat Penting – Najib

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata senario dunia global memerlukan seseorang itu mempunyai hubungan dengan seluruh dunia bagi membawa kemajuan.

Perdana Menteri berkata komunikasi memainkan peranan penting dalam membina hubungan ini, dan kemahiran dalam beberapa bahasa akan memudahkan usaha ke arah mencapai hubungan yang efisien.

Beliau memberi contoh bahasa Inggeris, bahasa perantaraan dunia yang menjadi semakin penting, dan bahasa Mandarin, untuk dapat berkomunikasi dengan negara China, yang bersedia untuk muncul sebagai ekonomi terbesar di dunia.

Berucap pada majlis pelancaran bangunan baharu SJK Chung Hua No.4 pada Khamis, Najib berkata beliau secara peribadi menggalakkan anaknya belajar bahasa Mandarin.

Najib juga menegaskan tentang kepentingan menguasai Bahasa Malaysia sebagai satu saluran komunikasi berkesan, yang dapat menyatukan dan mengintegrasikan masyarakat di negara ini.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita mesti terus memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan, kita mahu rakyat berjaya, bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, tetapi juga disemai dengan nilai-nilai yang baik, sama seperti orang Cina yang percaya kepada peribadi yang baik, dan nilai-nilai yang baik.

“Ada satu peribahasa Cina yang saya sangat suka, iaitu setiap kali anda minum air dari perigi, anda jangan lupa orang yang menggali perigi itu,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata bangunan baharu sekolah ini adalah satu contoh hubungan baik di antara kerajaan, sektor awam dan masyarakat, yang menunjukkan bahawa dengan sokongan yang kuat, bangunan itu boleh disiapkan dalam perancangan masa yang singkat.

Pembinaan bangunan baharu sekolah yang bernilai RM4.6 juta itu, mengandungi dewan serba guna, pejabat sekolah, lapan bilik darjah dan sebuah kantin, bermula pada November 2015, dan siap dalam tempoh hanya empat bulan.

Perdana Menteri memperuntukkan RM1.5 juta, manakala Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memperuntukkan RM800,000 dan kontraktor projek, Lee Onn Group menyumbang RM1.33 juta bagi pembinaan bangunan itu.

Pada Sabtu, Najib dijadual melawat Lundu, kira-kira 80km dari sini, sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Sarawak selepas menunaikan solat Jumaat.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");