Jenayah

Bawa diri ke bumbung kedai

KUALA BERANG – Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Berang mengambil masa kira-kira 20 minit memujuk seorang remaja kurang upaya (OKU) yang dipercayai merajuk dengan membawa diri di atas bumbung bangunan kedai lama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Kampung Pela, mangsa berusia 18 tahun itu berjaya turun menggunakan tangga sekitar jam 2.30 pagi dan terdahulu mangsa disedari berada atas bumbung berketinggian kira-kira lima meter itu oleh adiknya lebih kurang jam 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.29 pagi dan bergegas ke lokasi menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.

“Pasukan bomba dan penyelamat diketuai PBK II Mohd Nor Ali tiba di lokasi kejadian 1.51 pagi dan mendapati terdapat seorang remaja lelaki berada atas bumbung sebuah bangunan lama. Mulanya, mangsa enggan turun namun setelah dipujuk akhirnya dia setuju untuk turun.

“Operasi tamat jam 2.42 pagi. Mangsa dipercayai sudah berada atas bumbung bangunan kedai lama yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya antara tempoh tiga hingga empat jam sebelum disedari adiknya yang terlihat selipar mangsa,” katanya.

Terdahulu katanya, mangsa yang keluar rumah selepas Maghrib disangka ahli keluarganya pergi melihat latihan dikir barat diadakan di sebuah bangsal di kampung tersebut.

“Namun, berikutan mangsa belum balik walaupun sudah larut malam, keluarga mula mencarinya. Lebih kurang setengah jam selepas itu, adiknya ternampak mangsa berada atas bumbung.

“Mangsa terlebih dahulu dipujuk turun oleh ahli keluarga serta dibantu penduduk kampung namun enggan sebelum mereka hubungi pihak bomba dan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan sewaktu usaha memujuk dilakukan keluarga dan orang kampung, mangsa bukan sahaja mendiamkan diri tetapi turut bertindak ingin menyepak serta menepis pada sesiapa yang cuba memujuknya turun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");