Jenayah

Polis Marin Labuan gagal cubaan seludup rokok, arak

LABUAN – Polis Marin Labuan menggagalkan cubaan menyeludup keluar rokok dan arak dengan nilai RM59,598 serta merampas bot laju dengan enjin berkuasa tinggi bernilai RM65,000, semalam.

Rampasan dibuat ketika peronda pasukan itu sedang meronda di perairan Pulau Burung apabila mengesan sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan dari Sungai Kinabenua kira-kira jam 12.15 tengah malam.

“Bot itu kemudian memecut ke arah perairan Rancha-Rancha apabila menyedari bot peronda polis marin sedang menghampiri mereka,” kata Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Adzhar Othman kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki termasuk juragan bot kemudian terjun ke laut dan berjaya melarikan diri.

Adzhar berkata hasil pemeriksaan ke atas bot itu mendapati ia membawa 12 kotak rokok kretek dan 46 karton bir dan lapan kotak arak pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari pulau bebas cukai ini.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, katanya.

Sementara itu, Adzhar berkata polis berjaya menyelesaikan satu kes samun berkumpulan yang berlaku di sebuah hotel pada 7 Februari lepas.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 22 tahun itu didatangi dua lelaki yang menyerang dan merompak cincin emas dan wang tunai RM600 kira-kira pukul 6 pagi.

“Seorang daripada suspek yang juga mempunyai rekod jenayah ditahan pada hari yang sama kira-kira pukul 8.30 malam di Kampung Gerik hasil kerjasama orang ramai manakala rakannya masih bebas,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");