Jenayah

Sebatan Terhenti Pada Kali Ke-15

Banda Aceh: Hukuman sebat terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di sini, Rabu lalu, terpaksa dihentikan apabila pada sebatan ke-15 berikutan wanita itu sudah tidak dapat menahan kesakitan ditanggungnya.

Seramai tiga orang iaitu dua lelaki, Safruddin, 32, dan Humaidi, 19, dan serta wanita berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Linda, menjalani hukuman sebat di halaman Masjid Al Muchsinin Gampong Jawa, Kecamatan Kutaraja, Banda Aceh.

Sepatutnya pasangan Safruddin iaitu Epi Susanti, 28, juga disebat namun hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan kerana sedang hamil dua bulan.

Safruddin menjadi pesalah pertama disebat 27 kali yang berjalan lancar dan selepas itu, Humaidi (pasangan Linda) pula disebat 26 kali, juga berjalan lancar.

Selepas itu tiba giliran Linda Darmawati dan selepas disahkan pasukan perubatan dia sihat, hukuman sebatan 26 kali terhadapnya dimulakan.

Menurut laporan Detik.com, wanita itu rebah pada sebatan keempat dan pasukan perubatan memeriksa keadaannya sebelum hukuman diteruskan tiga minit kemudian. Wanita itu mengerang kesakitan sepanjang hukuman sehingga sebatan ke-15, dia rebah sekali lagi, memaksa doktor mengarahkan hukuman dihentikan.

Setiausaha Satuan Polisi Pamong Praja dan Wilayatul Hisbah (Satpol PP dan WH) Kota Banda Aceh, Yusnardi, berkata pihaknya akan bermesyuarat dengan pihak kejaksaan bagi memutuskan sama ada baki hukuman terhadap Linda akan dilaksanakan kemudian atau dihapuskan.

Menurutnya, dua pasangan itu ditahan berasingan di Banda Aceh beberapa bulan lalu dan Mahkamah Syariah Kota Banda Aceh memutuskan tiga dihukum sebat dan seorang dihukum penjara.

“Seorang (Epi Susanti) dihukum penjara kerana hamil, tidak dihukum sebat kerana dikhuatiri membahayakan kandungannya. Hukumannya diganti dengan penjara setahun enam bulan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya, 89 pesalah syariat Islam yang diputuskan bersalah oleh Mahkamah Syariah dihukum sebat sepanjang 2016 dengan yang pesalah berkaitan judi paling ramai iaitu 60 orang.

Beliau berkata, pesalah khalwat yang dihukum ialah 22 orang, pesalah berkaitan minuman keras hanya tujuh orang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");