Sukan Hari Ini

‘Sedia kerjasama walau siapa sahaja terpilih’

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengambil sikap berkecuali berhubung individu yang layak menerajui kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai presiden.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan siapa sahaja yang dipilih sama ada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Tan Sri Annuar Musa sebagaimana peneraju kepimpinan badan sukan lain.

“Sebagai menteri saya kena berkecuali,” katanya mengenai calon pilihannya ketika ditemui media selepas menyaksikan perjanjian penajaan platinum temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN oleh Ajinomoto Co., Inc di kementeriannya di sini hari ini.

Tunku Ismail dan Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam disahkan sebagai dua calon yang akan merebut jawatan presiden badan induk itu pada Pemilihan FAM yang akan diadakan pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengesahkan perkara itu berkata, dua lagi calon iaitu Khairy dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat menarik diri.

“Yang penting saya telah tunaikan janji untuk menarik diri daripada merebut jawatan itu apabila TMJ mengesahkan untuk turut bertanding,” kata Khairy apabila ditanya mengenai penarikan dirinya.

Mengakui bakat dan kebolehan Tunku Ismail dan Annuar dalam memimpin badan bola sepak, Khairy berkata, kedua-dua tokoh itu bagaimanapun perlu diberi masa untuk mencorak hala tuju bola sepak negara sekiranya terpilih kelak.

“Seluruh rakyat memang menaruh keyakinan tinggi kepada bakal peneraju baharu FAM tetapi selaku peminat bola sepak, mereka juga perlu sedar tiada kejayaan yang mampu diperoleh dalam tempoh singkat,” katanya.

Mengenai penguasaan berterusan ‘keluarga diraja’ jika Tunku Ismail dipilih sebagai Presiden FAM, Khairy berkata, beliau tidak menganggapnya sebagai satu isu sebaliknya lebih melihat kepada kredibiliti individu berkenaan.

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa kita perlu melihat kepada kebolehan dan keupayaan individu terbabit, tidak kira ia keluarga diraja ataupun ahli politik,” katanya.

Berhubung rungutan Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukan SEA, Frank Bernhardt bahawa Malaysia mungkin boleh melupakan pingat emas ekoran berhadapan masalah mengumpul pemain untuk latihan pusat, Khairy berkata, perkara itu perlu menjadi perkara utama yang perlu diselesaikan oleh kepimpinan baharu FAM.

Katanya beliau turut mendapat laporan daripada pengurus pasukan mengenai persiapan pasukan kebangsaan yang berdepan masalah kesuntukan masa dan kerjasama pasukan negeri dan kelab dalam melepaskan pemain namun yakin isu itu dapat diselesaikan menjelang kejohanan, Ogos nanti.

Ditanya apakah Malaysia sedia berdepan kemungkinan hilang ‘ibu segala emas’ jika keadaan itu berlarutan, Khairy berkata, beliau yakin isu itu akan ditangani segera FAM selepas diterajui kepimpinan baharu kelak.

“Tidak adil untuk mengatakan pingat emas bola sepak adalah ibu segala emas, pada saya semua pingat emas adalah sama dan penting…dan anggapan itu sebenarnya hanya akan memberi tekanan kepada skuad,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");