Jenayah

Seorang maut, 12 cedera van terbabas

ALOR SETAR – Seorang maut manakala 12 lagi cedera apabila van yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Batu 10, Jalan Alor Setar-Sungai Petani dekat sini awal pagi tadi.

Yang meninggal ialah pemandu van tersebut Shafie Wahab, 54, dari Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata kejadian kira-kira pukul 3.07 pagi ketika para mangsa dari Johor dalam perjalanan dari Alor Setar menuju Pendang.

“Siasatan awal mendapati van dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang elektrik dan terjunam ke dalam tali air.

“Pemandunya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan disahkan meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Rozi berkata mangsa yang cedera termasuk empat orang anak Shafie iaitu Mohamad Shahzuan, 17, Nur Suhana, 14, Mohamad Shahril, 13, dan Nur Suhaila, 6.

“Seorang mangsa iaitu Nor Khusaini Mad, 30, dirawat di zon kuning manakala mangsa lain yang mengalami cedera ringan ialah Suriati Faidi, 38, Mohamad Shaharuddin Abd Malek, 23, dan Nur Aisyah Fathiha Mohamad Taufik, 4.

Turut cedera ringan Abdul Shukor Ahamad, 49, dan isteri Zainab Kasim, 47, serta anak mereka Habsah, 27, dan Siti Haisah, 23.

Kemalangan tersebut sedang disiasat, katanya dan menambah elakkan daripada membawa penumpang berlebihan dalam sesebuah kenderaan.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");