Berita Hari Ini

Tabung hasil padi luar jangka akan ditubuh

KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menubuhkan Tabung Hasil Padi Luar Jangka khusus untuk membantu golongan pesawah yang mengalami kerugian hasil pengeluaran akibat pelbagai musibah.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya sedar masalah yang sering melanda pesawah akibat perkara luar jangkaan seperti penyakit padi dan serangan makhluk perosak selain faktor cuaca seperti kemarau dan banjir.

“Kementerian akan memikirkan mekanisme terbaik untuk mencari dana bagi mengisi tabung tersebut dan buat permulaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga akan memberi sumbangan kepada tabung itu.

“Dana daripada Tabung Pengeluaran Hasil Padi Luar Jangka ini boleh digunakan bagi mengimbangi pendapatan pesawah sekiranya hasil tuaian mereka pada satu-satu musim itu berkurangan daripada kebiasaan akibat faktor-faktor luar jangka tersebut.

“Sekiranya pengurangan pengeluaran padi oleh pesawah ini berlaku secara menyeluruh, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk membantu mereka dan satu di antaranya melalui tabung ini,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai masalah yang dibangkitkan Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor, Budiman Mohd Zohdi mengenai keluhan pesawah di kawasan itu yang terjejas teruk setelah diserang wabak penyakit hawar daun bakteria akhir tahun lalu.

Terdahulu Ahmad Shabery merasmikan Forum Agribisnes & Teknologi Usahawan Muda Kemaman di Chukai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Mengulas lanjut, beliau berkata saiz dana tabung serta mekanisme penilaian dan bantuan masih sedang diperincikan oleh kementerian dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk petani.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");