Jenayah

3 lelaki dituduh ubah wang haram RM1.7 bilion

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap 899 tuduhan pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM1.7 bilion, dalam tempoh 2012 hingga 2016.

Tertuduh, Muhammad Razik Mohamed Riyaludin, 36; Ramli Mohd Hassan, 59, dan Mohamed Thamimul Ansari, 41, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di depan Hakim Kamarudin Kamsun dan Mohammad Khalid Ab Karim.

Muhammad Razik menghadapi 352 tuduhan; Ramli (196) dan Mohamed Thamimul pula 351 tuduhan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di antara 2012 dan 2016 di sekitar Johor Bahru dengan cara melupus, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Muhammad Razik dan Mohamed Thamimul diikat jamin RM4 juta setiap seorang, manakala Ramli RM2.8 juta, dengan dua penjamin setiap seorang selain turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husmarudin Husin, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Mahendra Mahason.

Mahkamah menetapkan 8 Mei ini sebutan semula kes berkenaan. Semua tertuduh membayar wang jaminan memetik sumber Berita Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");