Membawang Hari Ini

Dira Abu Zahar semakin berani mengorak langkah

PELAKON dan pengarah, Dira Abu Zahar mengakui rutin hariannya kini begitu padat dengan pelbagai aktiviti sehingga berasakan putaran 24 jam itu tidak cukup buat dirinya.

Pada yang mengenali pemilik nama penuh Khaidhirah Abu Zahar ini, pastinya tahu akan sikap dirinya yang kuat bekerja dan sentiasa mahu tampil terbaik dalam apa yang dilakukan.

“Sejak dulu lagi saya memang seorang yang kuat bekerja, apatah lagi bila saya sudah menyatakan kesanggupan terhadap sesuatu, maka saya akan sudahkan sebaik mungkin.

“Itulah prinsip yang saya amalkan baik dalam kerjaya seni mahupun komitmen perniagaan, mahupun bidang politik sehingga kadang kala ia mendahului kepentingan diri saya sendiri,” tegasnya.

Barangkali atas sebab itu jugalah dia sering memperoleh sesuatu yang kadang kala di luar jangkaan atau perancangan sebagaimana kejayaannya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi telefilem Redhaku Untukmu di Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee baru-baru ini.

“Suatu masa dulu, saya tidak pernah merancang untuk bergelar pelakon dan berkecimpung dalam dunia glamor ini, namun apabila peluang membawa saya ke sini, saya cuba lakukan sebaik yang termampu.

“Begitu juga dengan kerja-kerja di belakang tabir, meskipun pada mulanya ada yang meragui kemampuan saya dalam bidang ini, namun ia tidak menjadi masalah kerana saya percaya kesungguhan akan mengatasi segala-galanya.

“Jujurnya saya tidak terlalu mengejarkan sesuatu kerana apa sahaja yang saya lakukan lebih kepada kepada minat dan ia memudahkan saya untuk menentukan hala tuju dalam bidang itu,” katanya kini semakin dikenali sebagai salah seorang pengarah wanita cukup berpotensi.

Dalam masa yang sama, Dira yang juga aktif mengarahkan video muzik turut mengakui diri bertuah kerana sentiasa dikelilingi orang yang positif dan sentiasa percaya kebolehannya.

“Dulu saya tidak berminat menceburi bidang politik, namun ibu sentiasa memberikan keyakinan bahawa saya mampu meneruskan legasi arwah bapa untuk berkhidmat kepada masyarakat dan itulah yang sedang saya lakukan kini.

“Sementara Michael Ang pula, merupakan penerbit pertama yang percaya bakat saya dalam bidang pengarahan dengan memberikan pelbagai peluang untuk saya membuktikan kemampuan dalam bidang itu.

“Orang-orang seperti merekalah yang banyak menggerakkan saya untuk mengenal potensi diri yang kadang-kala tidak saya sedari selama ini,” katanya yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri.

Korban dunia lakonan demi anak

Bagaimanapun, Dira yang mula dikenali menerusi drama Rona Roni Makaroni sebelum ini pernah memberi kenyataan ingin mengurangkan penglibatannya dalam bidang lakonan kerana perlu menumpukan perhatian kepada perkara lain yang juga menuntut perhatian.

Salah satunya adalah untuk memberi lebih tumpuan kepada anak tunggalnya, Tengku Anggun Deandra, 10, yang sentiasa menjadi nadi hidupnya.

“Saya percaya dalam usianya sekarang, dia memerlukan lebih perhatian daripada saya sebagai seorang ibu dan kawan, jadi ini jugalah antara sebab mengapa saya memilih untuk kurangkan aktiviti lakonan yang sering meletakkan saya dalam situasi bekerja tidak tentu masa.

“Saya anggap ia sebagai pengorbanan seorang ibu untuk anaknya kerana bagi saya, kita tidak perlu mengharapkan orang lain kerana apabila harapan itu tidak dipenuhi kita akan rasa kecewa dan mula mengeluh tentang itu dan ini.

“Selagi ada kudrat dan rezeki yang diberikan Tuhan, insya-ALLAH saya akan membesarkan anak dengan sebaik yang mungkin termasuk memberikan pendidikan terbaik untuknya sebagai persiapan masa depannya kelak,” luah pengarah teater muzikal Dia Semanis Honey ini lagi.

Semestinya tidak mudah bergelar ibu tunggal di mana segala tanggungjawab tergalas di bahu apatah lagi perlu menguruskan segala keperluan anak secara bersendirian.

“Alhamdulillah walau apa pun yang berlaku, saya masih mampu menguruskan kehidupan bersama anak seperti biasa tanpa sebarang keluhan atau rungutan kerana percaya ia tidak akan pernah membantu saya untuk menjadi lebih baik.

“Semenjak dulu lagi, saya memang tiada isu dalam hak penjagaan anak dan ia memudahkan kami menjalani kehidupan dengan baik tanpa terbeban dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Hubungan Anggun dengan bapanya, malah dengan bekas suami saya, Helmi juga sentiasa dalam keadaan baik dan ia sudah cukup membahagiakan saya,” ujarnya yang bakal muncul dengan filem Kimchi Untuk Awak yang telah menjalani penggambaran lebih setahun yang lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");