Berita Hari Ini

Ekonomi Malaysia 2017 kukuh

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini, berbanding 4.2 peratus tahun lalu.

Gabenornya, Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik daripada sektor swasta dan disokong oleh sektor luaran serta jangkaan pemulihan harga komoditi.

Katanya, BNM menjangkakan harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$50 hingga AS$55 (RM221.45 hingga RM243.60) setong, manakala harga minyak sawit mentah pula pada RM2,700 satu tan metrik.

“Namun begitu, ekonomi global akan terus berdepan dengan beberapa risiko yang akan menyebabkan pertumbuhan lebih perlahan, antaranya potensi ekonomi maju tidak lagi menyokong kuat globalisasi dan perdagangan bebas serta ketidakpastian mengenai rundingan United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) dan perkembangan geopolitik.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan global yang bertambah baik secara beransur-ansur, harga komoditi yang semakin pulih dan pertumbuhan permintaan dalam negeri akan terus menyokong perkembangan ekonomi Malaysia yang dijangka mencatat antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar pembentangan Laporan Tahunan 2016 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016 yang dikeluarkan BNM di sini hari ini.

Pada 2016, ekonomi Malaysia mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.2 peratus berbanding lima peratus pada tahun sebelumnya meskipun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan besar dari dalam dan luar negeri.

Berdasarkan laporan itu, ia juga menunjukkan inflasi keseluruhan tahun ini dijangka berada pada paras purata lebih tinggi antara tiga dan empat peratus, berbanding 2.1 peratus pada 2017.

Muhammad menjelaskan, kadar inflasi lebih tinggi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kos yang semakin meningkat berikutan peningkatan harga minyak global dan bukannya dipacu oleh permintaan.

Beliau berkata, BNM akan terus komited melaksanakan langkah-langkah berkesan bagi mengurangkan hutang isi rumah dari semasa ke semasa berdasarkan kepada penurunan yang dicatatkan tahun lalu pada 88.4 peratus berbanding 89.1 peratus bagi tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah hutang isi rumah mencatatkan pertumbuhan tahunan yang sederhana iaitu sebanyak 5.4 peratus berbanding 7.3 peratus pada 2015 dan lebih perlahan sejak 2010 iaitu 14.2 peratus.

“Sejumlah besar hutang isi rumah (62.6 peratus) adalah dalam bentuk pinjaman yang bercagarkan hartanah dan pelaburan yang terjamin prinsipnya termasuk pembelian rumah untuk didiami,” katanya.

Mengenai kebimbangan rizab antarabangsa yang berjumlah AS$94.9 bilion (RM425.6 bilion) setakat 15 Mac 2017, beliau memberitahu paras itu mencukupi untuk menampung kecairan sedia ada.

Katanya, akaun semasa juga dijangka mencatat lebihan satu hingga dua peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2017.

Mengulas mengenai Ringgit, Muhammad berkata, BNM tidak mempunyai sebarang sasaran yang ditetapkan untuk paras Ringgit dan menyifatkan langkah-langkah yang diambil bank pusat itu mendorong kepada kestabilan mata wang itu.

“Dari segi nilai saksama Ringgit, ia sentiasa berubah dan perlu dilihat kepada konsensus pasaran. Ia juga bergantung kepada permintaan dan bekalan serta kita juga perlu melihat persaingan dengan mata wang yang lain,” katanya memetik sumber Utusan Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");