Perak Hari Ini

Padang SMK Pangkor Dijangka Siap Awal April Ini

LUMUT: Pembinaan Padang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor yang telah terbengkalai sejak tiga tahun lalu dijangka siap dan boleh digunakan awal April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan pembinaan padang Astroturf tersebut telah terbengkalai selama ini kerana berlakunya pelbagai masalah teknikal.

“Setelah tiga tahun terbengkalai akhirnya padang ini hampir siap dan dijangka boleh digunakan bermula 1 April ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan khususnya saudara Khairy Jamaluddin kerana telah memberi peruntukkan sebanyak RM 2.2 juta bagi pembinaan padang ini,” katanya selepas melakukan lawatan ke padang sekolah tersebut.

Zambry juga menjelaskan pembinaan padang berasaskan rumput tiruan ini terpaksa dilakukan kerana faktor kawasan tersebut yang tidak boleh menggunakan rumput asal.

Jelas beliau lagi, tujuan pembinaan padang ini bukan sahaja untuk kegunaan pihak sekolah sebaliknya untuk kegunaan masyarakat Pangkor dan pihak kerajaan.

“Selain pihak sekolah, padang ini juga boleh digunakan oleh masyarakat Pangkor dan pihak kerajaan sekiranya ada upacara-upacara besar seperti sukan di Pulau Pangkor.

“Kita ingin menjadikan Pulau Pangkor sebagai tempat yang boleh menganjurkan upacara yang melibatkan sukan malah acara yang berkaitan pelancongan juga boleh menggunakan padang ini,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Zambry, kerajaan negeri turut bercadang untuk membina lampu bagi tujuan kegunaan di waktu malam.

“Pihak kerajaan negeri bercadang untuk membina lampu di padang ini bagi tujuan kegunaan di waktu malam dan segala bajet adalah di bawah Majlis Perbandaran Manjung,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");