Perak Hari Ini

Peruntukan Tidak Mencukupi Sukarkan Kerja Turapan Jalan Persekutuan

IPOH: Kerajaan Perak mengharapkan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan turapan jalan persekutuan di negeri dapat ditambah tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin berkata, perkara ini amat membimbangkan kerana jalan persekutuan merupakan jalan utama yang digunakan banyak jenis kenderaan.

“Tahun lalu kita tidak mendapat peruntukan yang secukupnya dari Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan perkara ini amat membimbangkan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan ini dikendalikan oleh syarikat Belati Wangsa (M) Sdn Bhd di bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak,” katanya.

Menurut Zainol, peruntukan yang telah diterima pada tahun 2016 merupakan yang paling rendah diterima.

“Kita memohon peruntukan sebanyak RM 132 juta namun peruntukan yang diluluskan hanya sebanyak RM 16 juta. Ianya sangat tidak mencukupi kerana dari nilai ini Kerajaan Negeri perlu mengagihkan kepada 10 JKR daerah dan anggaran peruntukan yang diterima setiap daerah adalah cuma RM 1.5 juta sahaja.

“Untuk tahun 2017 kami telah memohon peruntukan sebanyak RM 117 juta dan sehingga ke hari ini masih tiada sebarang jawapan yang kami terima,” jelasnya.

Tambahnya lagi, jalan persekutuan berukuran 1619 km di negeri ini juga telah lama tidak diturap.

“Kali terakhir jalan ini diturap adalah pada tahun 2013 sedangkan ianya harus diselenggara secara kerap kerana sering digunakan berbagai kenderaan seperti kereta, lori dan bas.

“Kerajaan negeri sentiasa mendengar setiap aduan yang diberi oleh rakyat, namun perkara sebegini menyukarkan setiap kerja penyelenggaraan yang hendak dijalankan,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan persekutuan mengambil serius perkara itu dan dapat meluluskan sejumlah peruntukan yang lebih banyak dan mencukupi pada tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");