Jenayah

Polis cedera dirempuh penjenayah

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis patah pada bahagian kaki kiri selepas dirempuh suspek yang melanggar sekatan lalu lintas ketika cuba melarikan diri dari susur menghala ke Taman Perindustrian Plentong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suspek lelaki yang memandu kereta PROTON Wira turut menyembur diesel ke arah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis menggunakan salur getah yang disambung kepada dua tong dalam kereta dipandunya.

Suspek berusia 30 tahun dan memiliki 10 rekod kesalahan lampau itu kemudian bertindak agresif apabila cuba memukul anggota polis sebelum ditembak di pinggang dan ditahan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata dua anggota yang membuat rondaan mengesan kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Perak, Pasir Gudang.

Katanya, suspek kemudian memecut secara melulu dan berbahaya sebelum merempuh sekatan lalu lintas serta melanggar anggota polis.

“Ketika rempuhan, anggota sempat melepaskan satu das tembakan ke bahagian hadapan kereta suspek selepas mendapati dirinya dalam situasi membahayakan.

“Bagaimanapun, tembakan tidak mengenai suspek yang kemudian memecut ke arah Johor Jaya.

“Ketika tiba di persimpangan di Jalan Rosemerah 2/11, berlaku kemalangan antara kereta suspek dengan kereta peronda MPV yang mengejar menyebabkan kedua-duanya berhenti.

“Suspek berkeadaan agresif dan meluru ke arah seorang anggota sambil memegang besi, menyebabkan anggota melepaskan satu das tembakan ke arahnya yang terkena pinggang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Jokhiri berkata, suspek cuba dan melarikan diri ke arah kaki lima sebuah bank dalam keadaan cedera tetapi ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

“Suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau iaitu tujuh rekod berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, curi kenderaan dan memiliki barang dengan curang serta tiga kes berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");