Perak Hari Ini

Polis Tolak Permohonan Bahas Nazri & Tun M

IPOH: Pihak Polis telah bertindak menolak permohonan berkaitan penganjuran bahas antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual berlangsung pada 25 Mac ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan pihak Polis telah menerima permohonan berkenaan daripada seorang wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf semalam.

“Permohonan itu turut menyatakan program perbahasan antara Datuk Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan Tun Mahathir Bin Mohamad akan diadakan pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar.

“Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar selaku Pegawai yang Menjaga Daerah Polis Kuala Kangsar telah menerima permohonan tersebut pada 20/3/2017 jam 3 petang daripada penganjur diatas mengikut peruntukan dibawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun jelasnya setelah dikaji dan ditimbang sebab-sebab perhimpunan tersebut akan diadakan dan mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak serta kebebasan orang ramai,Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ahmad Termizi Abd Haq telah menolak permohonan tersebut.

Penolakan itu akan disusuli dengan keputusan secara bertulis yang akan diserahkan kepada pemohon pada hari ini untuk maklumkan pihak penganjur.

“Alasan-alasan penolakan permohanan tersebut adalah seperti kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang dinyatakan dibawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada Pegawai yang Menjaga Daerah Polis iaitu Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

“Tempat perhimpunan yang dipilih iaitu MRSM Kuala Kangsar adalah kawasan sekolah dan ianya merupakan satu tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012),” katanya.

Malah jelasnya pihak polis telah menerima bantahan – bantahan secara bertulis iaitu 8 laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan dan mereka amat bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

“Ini merupakan bantahan dari orang-orang yang berkepentingan dalam APA 2012 dan jadual ketiga APA 2012 jelas menyatakan perhimpunan / dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan.

“Pihak polis mengalu-mengalukan semua pihak supaya akur kepada arahan KPD ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ianya diteruskan,” katanya mengulas berkaitan penolakan permohonan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");