Perak Hari Ini

Pupuk Minat Dalam Bidang Sains Dan Teknologi Di Karnival Kreativiti & Sains4u Dan Hari Meteorologi Sedunia 2017

IPOH: Kerjasama antara kerajaan Perak dan persekutuan menerusi Karnival Kreativiti & Sains4u serta Hari Meteorologi Sedunia 2017 dilihat mampu membudayakan sains, teknologi dan inovasi di kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, initiatif berkenaan merupakan salah satu initiatif Strategi Lautan Biru (NBOS) bagi memperkasakan minat rakyat Malaysia dalam bidang berkenaan.

Katanya, gabungan usaha ini merupakan satu sinergi di pelbagai peringkat khususnya di negeri Perak.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana memberikan peluang kepada Perak sebagai lokasi penganjuran karnival ini.

“Matlamat utama karnival ini adalah untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi di kalangan rakyat khususnya di Perak dan Zon Utara,” katanya ketika majlis pelancaran karnival tersebut hari ini.

Beliau juga berkata, karnival ini dilihat dapat memberi peluang kepada rakyat mengetahui kepelbagaian fungsi jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan dalam membangunkan bakat masa hadapan.

“Negara kita masih memerlukan kepakaran bagi meningkatkan teknologi sedia ada dan baru seperti teknologi nano dan grafin, sains angkasa, bahan termaju, bioperubatan dan robotik.

“Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran yang perlu dibina dan dipupuk dari awal,” katanya lagi.

Selain itu beliau juga berharap karnival ini dapat mengubah persepsi para pelajar dan ibu bapa yang merasakan bidang sains sebagai sesuatu yang sukar dan tidak menarik.

“Bidang sains masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Jadi dengan adanya karnival begini ia dapat mengubah persepsi negatif para pelajar dan ibu bapa terhadap bidang sains ini.

“Bidang sains pada zaman kini telah dipelbagaikan bidangnya, jadi para pelajar boleh memilih mengikut minat mereka,” ujar beliau.

Pada majlis yang sama juga, MetMalaysia telah memeterai dua memorandum persefahaman yang melibatkan kerjasama dalam bidang geofizik bersama Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");