Sukan Hari Ini

Yakult kekal taja pasukan TRW

WALAUPUN saingan Liga Malaysia (Liga-M) belum memasuki pertengahan musim namun penaja bersama The Red Warriors (TRW), Yakult (M) Sdn Bhd sudah awal lagi memberi pengesahan bahawa mereka akan terus kekal menaja pasukan itu, pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada memberi jaminan akan membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) biarpun prestasi semasa skuad pantai timur itu kurang memberangsangkan, pada awal musim ini.

Malah jelasnya keputusan tersebut didorong sambutan menggalakkan yang diterima penduduk negeri itu terutama penyokong setia TRW terhadap produk susu kultur probiotik keluaran syarikat berkenaan.

“Ya, kami akan sambung (tajaan bersama Kelantan). Saya tidak nampak kenapa kami hanya perlu menaja pasukan itu untuk tempoh setahun sahaja dan kami akan teruskan lagi selepas ini.

“Sebelum ini, jualan di Kelantan terendah di Malaysia namun selepas menaja pasukan bola sepak itu, permintaan terhadap produk kami mula meningkat,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Hamada turut membuat kejutan apabila mengumumkan bakal membawa empat pemain TRW menyertai lawatan ke Jepun, November tahun ini.

Tambahnya, selain berpeluang mengunjungi bandar raya tradisional iaitu Kyoto, pihaknya berhasrat membawa pemain melawat salah sebuah kelab bola sepak terkenal dalam Liga Jepun (J-League) iaitu Yokohama F Marinos.

“Mungkin empat pemain itu datang daripada posisi penjaga gol, pertahanan, tengah dan penyerang tetapi saya fikir ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) ada kriteria tertentu untuk memilih pemain berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menyambut baik keputusan syarikat dari Jepun itu untuk bersama pihaknya dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negeri itu, pada musim depan.

“Mereka (Yakult) sebuah syarikat antarabangsa dan mempunyai rangkaian di seluruh dunia namun mereka tetap beri komitmen kepada pasukan sederhana seperti Kelantan.

“Mereka ada keyakinan terhadap TRW untuk membawa jenama mereka bersama-sama kita. Sebab itu, saya rasa Yakult tidak silap memilih kita kerana kegilaan orang Kelantan adalah bola sepak dan strategi pemasaran Yakult sangat tepat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");