Berita Hari Ini

Banjir Kuala Selangor, Sabak Bernam Terburuk Sejak 1971 – Irmohizam

KUALA SELANGOR: Fenomena air pasang besar yang melanda sekitar daerah ini dan Sabak Bernam hingga mengakibatkan beberapa rumah rosak teruk disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 46 tahun.

Berdasarkan pengalamannya berdepan situasi sama pada 1971, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim itu segera turun padang bagi memastikan kebajikan penduduk yang terjejas terpelihara.

Beliau yang bergegas ke lokasi banjir sebaik mendapat maklumat kejadian pada Khamis malam itu turut membantu dengan menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kali terakhir fenomena air pasang besar berlaku adalah 1971 lalu sehingga ia sekali lagi melanda Kampung Kuantan untuk kali kedua.

“Semua pihak berwajib berusaha memindahkan mangsa bermula pukul 11.50 malam Khamis, ketika itu air sudah mulai naik setinggi 0.5 meter,” kataya memetik laporan mStar Online.

Antara kawasan yang terjejas kali ini ialah Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar dan Sungai Lang di Sabak Bernam, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Siam di sini.

Dalam insiden banjir kali ini seramai 66 mangsa daripada 21 keluarga, yang kebanyakannya nelayan dan petani dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan, Kampung Kuantan.

Tambah Irmohizam lagi, anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan.

“Selain anggota berkaitan, bekalan makanan serta beberapa peralatan bantuan kecemasan lain turut diagihkan ke pusat pemindahan bagi membantu meringankan beban mereka”, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Beliau juga bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dan jumlah anggaran kerugian akibat banjir masih dilakukan pihak berwajib.

Irmohizam turut menasihati penduduk di kawasan berkenaan supaya mematuhi arahan pihak berwajib bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");